TONSIL PADA KANAK-KANAK, PERLUKAH DIBEDAH ?

2 minggu lepas saya berkesempatan menziarahi anak teman baik di pejabat yang selesai menjalani pembedahan buang tonsil. Lepas ambik anak-anak di taska, usai solat maghrib, lari sekejap ke Pusat Rawatan Islam Az-Zahra. Tambah pulak memang dekat je dengan dengan rumah, takde masalah takat nak main lari-lari kejap pun. Sunat Muakkad menziarahi orang sakit ni. :)

Sepemerhatian saya, sejak kenal dengan rakan yang sorang ni..memang anaknya selalu demam dan tak sihat. Dah macam-macam jenis antibiotik yang diberi, tetapi masih, demam suka sangat nak kawan dengan anaknya yang hensem tu. Rupa-rupanya inilah punca dan isu yang sering tenggelam timbul.

Salah satu yang saya paling ingat daripada cerita si ibu ialah :

anak saya selalu mengadu sakit telinga, kerap demam, tidur pun berdengkur, dah macam orang tua!”

Dan, sayalah juga antara orang bertanggungjawab mencadangkan supaya beliau membawa anaknya itu bertemu dengan pakar untuk rawatan lanjut. Kesian budak tu, asyik telan antibiotik je, lama-lama body pun dah lali, bukan immune dengan penyakit sebaliknya immune dengan antibiotik.

Saya ulas sedikit tentang tonsil yang bukanlah sesuatu yang janggal di telinga kita.

Ada ibu-ibu yang kurang pasti adakah suatu keputusan yang tepat untuk buang tonsil pada anak mereka.

Sebelum tu, jom kita kenal dulu apakah yang dipanggil tonsil.

Tonsil

tonsil yang membengkak boleh menyebabkan kerap selsema dan demam

 

 

 

 

 

 

 

 

Satu gumpalan tisu limfoid yang terletak di bahagian tekak yang berfungsi sebagai markas pertahanan yang diperlukan oleh badan pada peringkat awal tumbesaran. Secara umumnya, semua orang mempunyai tonsil yang merupakan bonjolan di tepi kiri dan kanan anak tekak. Saiz sebenar tonsil pula adalah lebih besar daripada apa yang kita dapat lihat apabila membuka rahang.

Fungsi lain tonsil adalah :

  • Melindungi saluran pernafasan dengan mengawal pintu laluan udara pernafasan.
  • Membentuk sel limfosit dan plasma untuk pertahanan badan.
  • Memantau dan memberi amaran kepada badan akan jangkitan bakteria yang masuk melalui udara dan makanan.

Tonsilitis

Radang pada tonsil yang disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria. Tonsillitis yang disebabkan oleh virus boleh sembuh dengan sendirinya, manakala tonsillitis yang berpunca daripada jangkitan bakteria boleh dirawat dengan antibiotik.

Pengambilan antibiotik sebenarnya lebih kepada membantu mempercepatkan proses pemulihan. Walaubagaimanapun, terdapat keadaan di mana tonsillitis berlaku terlalu kerap (melebihi 6 kali setahun) dan tidak lagi boleh disembuhkan dengan bantuan ubat antibiotik.

Tonsil dan tonsilitis pada kanak-kanak

Pada kebiasaannya, apabila anak-anak kita mengalami demam, perkara pertama yang akan diperiksa oleh doktor ialah adakah dia mengalami pembengkakan pada tonsil. Dan sekiranya tonsil bengkak, doktor akan memastikan samada terdapat jangkitan atau bakteria pada kawasan terlibat atau tidak. Kebanyakan kanak-kanak mempunyai tonsil yang lebih besar berbanding orang dewasa kerana pada usia ini tubuh baru mengenali kuman dan bakteria.

Antara tanda-tanda biasa radang tonsil atau tonsilitis ialah nafas berbau busuk dan lidah kering bersalut putih serta lelangit dan anak tekak berwarna merah terang di mana kelenjar limfa di leher mula membesar dan sakit. Ia juga boleh mengganggu sistem pernafasan, di mana pesakit akan berdengkur sewaktu tidur.

Gejala yang biasa pula termasuklah sakit kepala, sakit tekak, lemah tubuh badan, sakit telinga dan diikuti dengan demam panas (38°C hingga 40°C) yang disertai dengan rasa seram sejuk dan menggigil. Kesukaran menelan akan menyebabkan pesakit tonsil sukar menelan dan hilang selera makan.

Anak kerap demam dan sakit kerana tonsilitis

tonsil yang terlalu kerap terjadi akan memudaratkan jika tidak dibuang

 

 

 

 

 

 

 

Semasa fasa-fasa awal tumbesaran kanak-kanak, kesemua tonsil ini berperanan sebagai alat penapis yang menjadi pertahanan badan. Ia akan melawan jangkitan kuman yang masuk melalui saluran pernafasan dan mulut kanak-kanak.

Apabila kanak-kanak dijangkiti kuman, tisu tonsil akan menghasilkan sel untuk melawan kuman dan ini menyebabkan tonsil menjadi radang dan membesar. Ini akan berterusan sehingga kanak-kanak berumur 2-3 tahun.

Bonjolan tonsil ini tidak berbahaya kerana tonsil berfungsi sebagai salah satu sistem pertahanan badan daripada serangan kuman. Walaubagaimanapun, kebanyakan kanak-kanak mempunyai tonsil yang lebih besar berbanding orang dewasa kerana pada ketika itu tubuh baru ingin mengenali kuman dan bakteria baru. Bonjolan ini akan semakin mengecil apabila meningkat dewasa.

Secara beransur-ansur, fungsinya sebagai satu mekanisme pertahanan diri daripada kuman juga tidak penting lagi dan akan diambil alih tugas oleh sistem pertahanan badan yang lebih menyeluruh dan matang. Semakin besar seorang budak, semakin kurang sebenarnya kebergantungannya kepada tonsil sebagai alat perlindungan. Tambahan pula, sistem pertahanan tubuh juga sudah semakin kebal.

Tonsil ni, budak kecik ke, orang besar ke, semua orang ada. Melainkan kalau dah dibedah dan dibuang terus daripada menghiasi anak tekak. Tapi kalau dah diserang oleh kuman dan dijangkiti bakteria, ia sebaik-baiknya dibuang bagi mengelakkan ia menular dengan lebih teruk dan menyebabkan demam yang sentiasa berulang-ulang.

Buang atau tidak, itu pilihan. Pilihan jika masih mau simpan sedangkan ia memudaratkan. Kesian anak kita yang comel, asyik demam je sebab tonsil. Nak belajar, berkawan dan meneroka dunia pun tergangggu.

Kakak ipar kesayangan saya yang sorang tu pun sampai sekarang masih dibelenggu “hantu tonsil”. Pantang salah sikit, suhu sejuk sikit, silap makan sikit – bengkaklah tonsilnya yang berdua itu. Udahlah suka minum ais-ais. Umurnya pun dah cecah 40 tahun. Bukan kanak-kanak je, orang besar lagi teruk tahap takutnya nak kena operate, sanggup tahan sakit demam setiap bulan.

Walaupun pada dasarnya tonsil berperanan sebagai sistem pertahanan badan daripada serangan kuman, tetapi ia hanya berfungsi pada tahun pertama kelahiran. Selepas tahap tersebut, tonsil tidak lagi berfungsi dan sistem imuniti badan akan diambil alih oleh kelenjar limfa yang lain. Sebenarnya ia adalah satu kepercayaan yang salah jika menganggap pembuangan organ terbabit akan menjejaskan sistem pertahanan tubuh. Yang pasti, pembuangan tonsil tidak akan menjejaskan mana-mana bahagian malah pesakit akan lebih sihat selepas pembedahan dilakukan.

-Pakar Perunding Telinga, Hidung, Tekak dan Surgeri Kepala dan Leher, Kelana Jaya Medical Centre, Dr. Samril Bokari-

Buat ibu-ibu yang masih risau dan ragu-ragu, pembuangan tonsil tidak akan memberi mudarat, malah anak-anak akan lebih sihat selepas pembedahan buang tonsil dibuat. Sebaiknya ia tidak dipandang remeh kerana tonsilitis di kalangan kanak-kanak juga boleh mengganggu sistem pernafasan dan membahayakan nyawa sekiranya tidak dirawat lebih awal.

Sebagai ibu bapa, kita boleh berikhtiar untuk mengelakkan anak-anak berada dalam situasi ini dengan memberikan anak-anak makanan yang seimbang dan berkhasiat. Pengambilan suplemen bagi meningkatkan sistem imun juga adalah salah satu usaha yang baik selain boleh mendidik mereka tentang pentingnya menjaga kebersihan diri dan persekitaran.

Sumber rujukan :

  1. http://en.wikipedia.org/wiki/Tonsil
  2. http://www.doktorbudak.com/2014/10/14/anak-kerap-sakit-tonsil/
  3. http://ww1.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130110/kn_01/Jangan-pandang-remeh-sakit-tonsil
  4. http://www.doktorbudak.com/2014/11/09/qa-pengurusan-demam-antibodi-dan-keperluan-antibiotik

18,680 total views, 2 views today

2 Thoughts on “TONSIL PADA KANAK-KANAK, PERLUKAH DIBEDAH ?

  1. Penerangan yang serba lengkap, memang tengah mencari masalah tonsil ini untuk kanak-kanak. terima kasih
    MySemakan recently posted…Permohonan Kolej Vokasional Dan Sekolah Teknik 2017 OnlineMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge

Post Navigation