SUSU TAK KELUAR SELEPAS BERSALIN, MEMANG SAYA NI “KETURUNAN SUSU BADAN TAK BANYAK”

Ramai ibu-ibu yang kecewa sebelum berjuang, luntur semangat lebih awal kerana sebab yang satu ini.

Susu tidak keluar memancut, tapi hanya meleleh setitik dua, itupun apabila dipicit pada payudara. Picitan yang sangat menyakitkan!

Penting!

Ini info yang ibu-ibu wajib tahu jika mahu berjaya menyusukan anak dengan susu badan sendiri.

Beberapa hari pertama selepas kelahiran bayi, tubuh ibu akan menghasilkan kolostrum, “before milk” atau “practice milk” yang sangat kaya dengan nutrisi.

Kolostrum adalah sejenis susu ibu yang dihasilkan pada fasa akhir kehamilan sehingga beberapa jam selepas bersalin.

Kolostrum ini mengandungi banyak ciri-ciri perlindungan, termasuk bahan-bahan anti-bakteria dan daya tahan tubuh yang sama sekali tidak terdapat dalam susu formula bayi yang dijual di pasaran.

Pada kebanyakan wanita, kolostrum berwarna kekuningan, bersifat pekat likat dan melekit.

Ia bukannya susu basi!

Tak perlu diperah dan dibuang terlebih dahulu sebelum mendapat susu peralihan dan susu matang.

Titisan emas ini hanya ada beberapa hari sahaja selepas bayi lahir, tidak kekal lama sepanjang proses penyusuan berlansung.

Kolostrum sangat penting kepada bayi yang baru lahir kerana:

1. Mengandungi zat yang serba lengkap – karbohidrat, protein (3 kali ganda lebih daripada susu lain)

2. Mengandungi sel-sel hidup dan antibodi (immunoglobulins) yang tinggi. Antibodi ibu boleh diberikan (disalurkan) kepada bayi melalui penyusuan susu ibu.

Kajian yang dijalankan oleh Pusat Kawalan dan Pencegaha Penyakit Amerika Syarikat mendapati, bayi yang menyusu dengan susu ibu akan menerima antibodi daripada ibunya yang akan melindungi bayi daripada jangkitan kuman.

3. Lebih mudah dan cepat dicernakan berbanding apa jua jenama susu formula lain

4. Memiliki efek laksatif – dapat membantu mempercepatkan proses pembuangan mekonium (najis hitam) faktor utama jaundis (demam kuning) di kalangan bayi baru lahir

5. Memiliki kandungan imun yang tinggi – imunisasi pertama & terpenting bagi setiap bayi sebagai pelindung di usia-usia awalnya.

6. Bertindak melindungi saluran pencernaan bayi yang masih belum matang

7. Mengandungi lebih banyak sel darah putih (leucocytes) yang mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema, bronkitis dan radang paru-paru.

Di fasa-fasa awal kelahiran dan kehidupan bayi, aliran kolostrum adalah perlahan supaya bayi dapat belajar menyusu dengan baik – proses yang melibatkan koordinasi untuk menghisap, bernafas dan menelan.

Dalam masa kira-kira 3-4 hari menghasilkan kolostrum, payudara ibu perlahan-lahan akan menjadi semakin matang dan bekalan susu juga akan bertambah dan berubah dari kolostrum ke susu ibu, yang menyerupai susu skim (susu lembu).

Kandungan khasiat yang terbaik dalam susu ibu mampu menyelamatkan dan menjadi pelindung bayi sebelum diberikan imunisasi formal di klinik.

Amaun kolostrum yang diperlukan oleh bayi juga adalah dalam jumlah yang sedikit sesuai dengan saiz perut bayi yang masih sangat kecil :

1. Hari pertama (0-24 jam usia bayi)

Setiap satu sesi : 2-10 ml/<1/2 – 2 tbs

Dalam 24 jam : 30 ml = 1oz

2. Hari ke 2 (24-48 jam usia bayi)

Setiap satu sesi : 5-15 ml/1 tbs – 0.5oz

3. Hari ke 3 (48-72 jam usia bayi)

Setiap satu sesi : 15-30ml/0.5oz – 1oz

4. Hari ke 7

Setiap satu sesi : 30-60ml/1-2oz

Dalam 24 jam : 300-600ml = 10-20oz

5. Usia minggu ke 2 hingga ke 3

Setiap satu sesi : 60-90ml/2-3oz

Dalam 24 jam : 450-750ml/15-25oz

6. Usia 1 hingga 6 bulan

Setiap satu sesi : 90-120ml/3-4oz

Dalam 24 jam : 750-1035ml/25-35oz

Sumber : https://kellymom.com/ages/newborn/when-will-my-milk-come-in/

ABM 2009, Mannel et al 2013, Mohrbacher 2010.

Penghasilan susu biasanya mula meningkat antara 30-40 jam selepas uri dikeluarkan, namun ianya mengambil masa untuk ibu mula perasan bahawa susu sudah mulai bertambah.

Oleh sebab itu, kebanyakan ibu percaya susu mula keluar selepas mereka berurut pada hari ketiga dan keempat sedangkan memang pada ketika itulah masa yang sepatutnya susu peralihan sudah mula terhasil.

Semua ibu telah diberikan nikmat susu ibu yang sama rata untuk menyusukan bayi yang dilahirkan mereka.

Kejayaan penyusuan pula terletak pada ilmu dan kesungguhan ibu itu sendiri tidak termasuk faktor kesihatan ibu yang tidak mengizinkan penyusuan berlaku.

Lansung tiada kaitannya dengan keturunan atau genetik keluarga yang sejak lahiriah “tidak banyak susu”.

Ditegaskan sekali lagi faktor keturunan tidak bersangkutan sama sekali dengan banyak atau sikit susu ibu yang terhasil.

Walau siapa-siapa juga pun yang menyebutnya hatta emak kita sendiri, sebagai ibu zaman kini yang boleh mendapat info hanya di hujung jari, tanggungjawab kitalah untuk memastikan proses penyusuan berlaku dengan ilmu, bukan fahaman ikut-ikutan.

Ibu, jagalah mindset dan emosi untuk terus menyusukan. Susu yang meriah dan berkhasiat terhasil daripada ibu yang sihat dan positif.

174 total views, 1 views today

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge

Post Navigation