SUNATKAN ANAK PEREMPUAN BOLEH HINDARI GEJALA GEDIK TERLAMPAU. BETUL KE?

Cuti sekolah.

Cuti sekolah tiba lagi. Selain menghabiskan masa bersama family dengan makan angin dan jalan-jalan holiday, berkhatan berada pada rank paling top setiap tahun.

Musim cuti sekolah ni ramai ibu-bapa yang ambil kesempatan untuk sunatkan anak masing-masing. Kalau lalu di area shoplots di seksyen 9 Bangi ni, berderet bunting dan banners pasal Circumcision Package baik di Pusat Rawatan Islam Az-zahrah ataupun An-Nur.

Yelah, waktu ni lah yang paling sesuai pun nak sunatkan anak kan. Waktu cuti panjang yang ngam ngam je untuk tempoh penyembuhan yang sempurna gituh.

Saya pun tak terkecuali jugak nak menyunatkan si kenit ni. Dah lambat sangat dah. Masuk bulan ni dah cukup setahun 3 bulan anak dara nombor dua saya ni. Jangan pelik atau terkejut, anak perempuan pun disunatkan jugak tau!

Hukum berkhatan

Hukum mengikut jumhur ulama’ ialah wajib bagi lelaki yang bergelar muslim untuk dikhatankan dan sunat pula bagi wanita untuk dikhitankan. Mengkhatan anak lelaki adalah wajib manakala mengkhitankan anak perempuan pula adalah sesuatu yang terpuji.

Berkhatan menjadi wajib untuk dilakukan ketika si anak hampir cukup umur atau apabila seseorang mencapai akil baligh. Berkhatan untuk lelaki adalah sunat dihebahkan sementara untuk wanita pula adalah sebaliknya.

Sekiranya terdapat risiko ia akan membahayakan diri kanak-kanak tersebut, maka ianya patut di tangguhkan ke suatu masa lain yang lebih selamat. Ia sebaik-baiknya dilakukan pada hari ke 7 atau hari ke 40 bayi dilahirkan. Satu lagi masa yang baik adalah semasa umurnya mencapai 7 tahun, iaitu umur apabila mereka perlu sudah mula disuruh untuk solat.

Khitan atau sunat anak perempuan

Selalu berlegar-legar dalam fikiran mak ayah terutamanya yang berkahwin di usia masih muda dan baru menimang anak pertama. Perempuan pulak tu!

Eh, anak perempuan pun kena sunat ke?

Umur berapa paling sesuai disunatkan?

Kalau tak sunat ada effect apa-apa tak nanti?

Alamak, terlupa lah haritu nak sunat masa lepas bersalin..

Aiseh.. gegurl aku dah besar, dah boleh berlari ni.. boleh lagi ke nak sunat?

Ok, sebelum tu kita kena faham dulu apa tujuan atau hikmahnya berkhatan ni. Samada lelaki atau perempuan, kedua-duanya ada manfaat dan kebaikan tersendiri.

Alat kelamin perempuan terdiri daripada dua bahagian. Bahagian pertama merupakan simbol kegadisannya dan bahagian kedua adalah bahagian yang harus dipotong semasa berkhitan. Cara memotongnya tidak boleh berlebihan dan tidak perlu memotong semua di bahagian itu.

Untuk kanak- kanak perempuan ianya dilakukan untuk memenuhi syarat berkhatan pada namanya. Ia bermaksud memotong pada sebahagian kecil di ‘daging berbentuk balung ayam di atas saluran kencing’ (klitoris). Ini patut dilakukan sesedikit yang mungkin dan tidak akan mencacatkan.

Para ulama menegaskan, khitan perempuan tak boleh dilakukan secara berlebihan, seperti memotong atau melukai klitoris kerana ianya bukan sahaja membahayakan malah boleh menjejaskan nafsu dan kehendak seks.

Jika dilihat dari segi anatomi dan fisiologi, di bahagian hujung klitoris tersebut terdapat titik pertemuan saraf-saraf bagi saraf-saraf di sekitar klitoris. Maka, ianya adalah sangat penting untuk ransangan. Seperti yang diketahui, hikmahnya berkhatan berkait dengan pengurangan syahwat, supaya dapat mengurangkan gejala tidak terkawal seperti kehendak dan nafsu yang keterlaluan, yang juga boleh mendorong kepada zina dan kecurangan. Nauzubillah… 

******************************************************************************************

Woahhh.. panjang lebar dah kot explanation pasal sunat atau khatan nih. Sampai juling biji mata mencari info sana sini. Ibu pernah juga buat entry sebelum ni pasal berkhatan. Kira yang ni dia punya sambungan lah.

Penting tau nak kasi diri sendiri faham supaya dapat bantu orang lain pula faham dengan ayat yang lebih mudah difahami.

Saya juga ada merujuk beberapa maklumat tentang hikmah bersunat dan pandangan daripada seorang pegawai perubatan.

Baca Juga: Fatwa Kebangsaan berkenaat sunat atau khitan anak perempuan.

Macam saya sendiri, seboleh-bolehnya memang berniat nak sunatkan semua anak perempuan yang kami ada. Setakat ni baru 2 orang. Opsss.. Adik-adik gegurl nanti pun inshaallah semua bakal “disunatkan”. Biar ada sifat malu, sopan santun, takmau tergedik-gedik lebih sangat. Sesikit takpe.. hehehe..

muka budak baik sebelum tau bakal kena sunat

muka budak baik sebelum tau bakal kena sunat

Alhamdulillah dah settle pun akhirnya urusan kami mengkhitankan adik Ain Sufi yang dah masuk setahun 3 bulan. Ibu tak berkesempatan untuk tengok sendiri sebab kena pegang tangan adik, menghadap muka adik. Tapi lepas selesai, doktor memang ada tunjukkan part mana yang terlibat. Sekejap je, tak sampai 5 minit. Nangis pun sebab terkejut je gamaknya kot. Lepas tu siap boleh memanjat naik atas meja doktor dah. Memang heroin sungguh anak dara ku yang sorang nih. Menggeleng kepala doktor Siti tengok dia.. hahaha..

Sempat juga saya tanya doktor pasal ada yang kata kalau baby dah besar kena bius segala tu. Jawab doktor Siti, tak perlu pun sebenarnya. Bius tu lagi leceh, lagi sakit daripada kena sunat. Aisey, susah-susah je ibu duk memikir selama ni. Betul lah.. bila dah jadi omak ni memanglah asik nak memikir je perihal anak, sampaikan benda kecik pun jadi besar. Naluri semulajadi ibu katanya, takut terjadi apa-apa kat anak kesayangan.

Doktor cuma letakkan cotton ball yang dah dititiskan dengan antiseptik dekat kawasan yang dipotong tu. Disebabkan saya memang bawak spare pampers baru, so saya tukarkan pampers adik dan sejurus lepas tu kami dah boleh balik. Petang tu masa mandikan adik, cuma tanggalkan kapas dan dah tak nampak pun kesannya. Takdelah sampai bleeding ke apa pun. Darahnya cuma setitik je kot. Boleh kata tak ada beza pun dengan sunat masa kakak dulu, walopun umurnya berbeza sangat.

Sebelum ni runsing jugalah ibu ni memikir bila lah nak sunatkan adik, kat manalah nak pergi, ada lagi ke doktor yang nak accept budak besar gini yang baru nak bersunat. Kakak Iman Nasuha dulu masa 2 bulan dah selesai. Yang adik ni, boleh pulak ibu lupaaa.. adeeh..

Runsing ibu bila ada jumpa pendapat beberapa orang pegawai perubatan yang tak menyarankan baby selepas umur setahun untuk bersunat sebab katanya kena bius. Berbulan jugak ibu duk survey-survey pengalaman kawan-kawan yang ada anak perempuan. Masing-masing gegurl nya awal-awal lagi dah sunat. Ada yang disunatkan lepas bersalin terus pun ada. Sebaik-baiknya buat masa masih kecil ni, lagi elok. Senang doktor nak buat kerja, tak payah nak bersilat. Lagipun bukannya banyak pun yang nak dipotong. Tak nampak beza pun dari luarannya, tak macam lelaki.

Kebetulan teringat nak tanya dekat Paeds Clinic An-Nur and nurse kata Dr. Arbaiyah memang boleh sunatkan baby lagi sampai umur 2 tahun, cepat-cepat saya block date dengan abi untuk sunatkan adik. Takpayah early appointment pun takpe, janji datang awal-awal pagi. Boleh dapat no awal, so turn pun akan awal dan boleh jumpa doktor awal-awal.

dah settle sunat, boleh main panjat-panjat dah

dah settle sunat, boleh main panjat-panjat dah

Kalau dulu masa kecik selalu terfikir dan tertanya-tanya dalam diri sendiri, “eh orang perempuan ni lahir-lahir je memang dah terus sunat ke?”.. hahaha. Bebudak sangat kan pikiran tu. Macam dah takde benda lain nak kaji. (Almaklumlah, adik beradik ramai lelaki, asal dapat adik baru je.. kakngah ni lah yang basuh cebokkan kencing berak semua). So tiapkali buat kerja tu, masa tu jugaklah terfikir pasal orang lelaki kena sunat, perempuan tak payah. Hehehe…

Lepas tu kalau time bergaduh adik beradik, selalu cakap gini.. “jadi lelaki nanti ko kena sunat sakittt oooo.. padan muka!” Balasnya pulak dari yang lelaki, “eleh..takpe.. kalo perempuan lagi teruk sebab kena beranak, lagi sakit.. lelaki takpayah. sunat sekali je sakit” hahaha.. sampai macam tu sekali. Siap pertikaikan pulak kenapa lelaki kena sunat, perempuan tak payah. Sedangkan dari baby lagi mak ayah dah sunatkan.

And lagi satu sokmo terdetik apa lah maksudnya yang orang tua selalu duk kata “gatai bijik kelentit” tuu… especially bila tengok cerita or ada situasi anak-anak dara yang over dia punya tahap gedik, gatal, gelinjang segala.. Ada kaitan dengan perempuan ke?

Laaa ni bila dah besar, dah jadi mak orang, baru lah betul-betul faham yang semua ni berkait dengan hikmah mengkhitankan anak perempuan. Biar terkawal perilaku dan terlindung daripada kes-kes melibatkan maruah.

Walaupun khitan bagi anak perempuan bukanlah sesuatu yang wajib, tapi ia sangat digalakkan atas sebab-sebab kesihatan, kebersihan dan semestinya kerana ingin memelihara sifat-sifat kewanitaan yang sememangnya diciptakan sebagai seorang yang ayu, lemat lembut dan mempunyai sifat malu.

Kena ingat ya, khitan yang dilakukan tidak boleh terlalu berlebihan kerana ia bukan sahaja akan menyiksa perempuan, malah juga bertentangan dengan agama. Oleh sebab itu, perlaksanaan khitan pada perempuan harus disempurnakan oleh doktor atau ahli perubatan yang benar-benar faham tentang Islam dan dapat pula menjalankan amalan sunat ini sesuai dengan ajaran Nabi Muhammad SAW.

Oh ya, buat mak ayah or sesiapa yang berhajat nak sunatkan anak gadisnya tu, boleh walk-in terus ke An-Nur ya! Paeds clinic yang menjadi pilihan dan yang saya paling suka so far. 2 orang doktor yang paling lama dan berpengalaman di sini semestinya Dr. Khairul Azman dan Dr. Siti Arbaiyah.

Klinik Pakar Kanak-kanak An-Nur, No 14 & 16, Medan Pusat Bandar 1, Bandar Baru Bangi, 43650, Selangor. http://www.annur.com.my. Contact :  03-89255545.

Boleh juga call dulu untuk sebarang pertanyaan atau apa-apa jelah yang nak tau further. Nurse-nurse semua pun friendly dan comel belaka. Ishh..memang suka sangatlah saya dengan klinik nih!

29,354 total views, 73 views today

2 Thoughts on “SUNATKAN ANAK PEREMPUAN BOLEH HINDARI GEJALA GEDIK TERLAMPAU. BETUL KE?

  1. Pingback: 7 Perkara Yang Anda Nak Tahu Sebelum Sunat Bayi Perempuan

  2. URUT TRADISIONAL on 02/05/2017 at 11:53 AM said:

    PERKHIDMATAN URUT TRADISIONAL
    UNTUK WANITA DAN IBU BERSALIN
    AREA SEKITAR SENTUL DAN SELURUH KAWASAN KUALA LUMPUR.
    HUBUNGI 013-2096836.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge

Post Navigation