SOK SEK SOK SEK CERITA SELEPAS KELAHIRAN KEDUA

Selepas lebih kurang purata 36-40 minggu membawa perut dan isi kandungan, tibalah masa utk berjuang melahirkan pula. Dan.. usai melahirkan, bermulalah episod berpantang yg kadangkala menyeronokkan dan adakalanya pula boleh menjadi mimpi ngeri.

Namun, tepat benar apa yg dikata, yang sering disebut-sebut perihal wanita, ibu, mama, ummi, emak..

Orang perempuan ni kuat. Dari bab mula mengandung, kena go thru morning sickness, sakit pinggang, kaki cramped, tak larat jalan, sembelit, buasir, false labour, contraction, episiotonomi, luka perinium, stretch marks, poket kangaroo, selulit.. ohhh..terlalu banyak senarai nak list down kan.. Apa yang penting, selembik-lembik dan selembut-lembut seorang wanita, dia lah yang Allah pilih untuk melahirkan zuriat dan keturunan anda para suami.

istock_000002445383small-e0aefa356f62b42838c0451f03cbaf87e43c5fc5-s6-c30

Sakit pada faraj

Sekiranya anda mengalami episiotomi atau koyakan semada melahirkan, anda akan mengalami sakit pada faraj. Kesakitan mungkin akan belarutan sehingga 2-3 minggu terutama semasa anda berjalan atau duduk. Koyakan yang panjang mungkin akan mengambil lebih masa untuk sembuh sepenuhnya.

#menurut kata Dr.Wan Masliza yg menyambut kelahiran saya kali ini, tiada koyakan dalaman yang berlaku, manakala jahitan episiotomi cuma 2cm.. alhamdulillah.. Bak kata kak anis (jiran seblah umah) : eleh, 2cm tu mcm takde pape..tak rase pun.. :)

Tip untuk memastikan luka koyakan atau perinium cepat baik :

  • Letak pad sejuk atau berais di sekitar tempat luka
  • Pastikan tempat luka kering dan bersih- Bilas faraj 2-3 jam sekali dan biarkan kering dari darah nifas. Anda juga boleh mengunakan pengering rambut jika ada
  • Semasa kencing, cuba duduk  secara “squat” dan siram air suam untuk cucian selepas itu
  • Semasa buang air besar, tekan dengan lembut kawasan episiotomi untuk pastikan ia tidak terlalu tegang. Ini akan mengurangkan sakit dan mengelakkan jahitan terbuka semula.
  • Duduk perlahan-lahan, jaga pergerakan punggung semasa duduk. Sekiranya masih sakit, guna bantal berbentuk donut atau pelampung untuk mengurangkan tegangan.
  • Buat senaman kegel. Ia menolong menguatkan otot pelvis. Cuba selepas sehari bersalin dengan mengemutkan otot faraj seperti tahan kencing. Buatlah 4-5 kali setiap sesi selama 40-50 kali sehari.
  • Pastikan tiada tanda jangkitan kuman seperti kesakitan dan pembengkakan. Jumpa doktor sekiranya ada masalah ini.

Darah nifas

Anda  akan mengalami pengaliran darah nifas sehingga 6 minggu selepas bersalin. Pada mulanya ia merah dan banyak, tapi lama kelamaan ia akan beransur kurang menjadi berwarna coklat. Sekiranya anda duduk atau baring buat seketika, anda mungkin perasan pendarahan yang keluar terutama semasa dan selepas menyusukan bayi. Itu normal dan anda janganlah panik pula. Pastikan pad sanitari (tuala wanita) ditukar dengan kerap untuk mengelakkan jangkitan kuman pada luka. Jangan cemas sekiranya keluar darah beku sekali sekala. Ia kerap terjadi. Walaubagaimanapun, sekiranya  anda mengalami masalah-masalah seperti ini, jumpalah doktor dengan segera.

  • Sanitari pad dipenuhi darah walau ditukar setiap setengah jam
  • Darah yang keluar berbau busuk
  • Darah beku yang keluar lebih besar dari bola golf
  • Mengalami demam 38 darjah atau lebih

#berpantanghari ke20. setakat ini pengaliran darah nifas saya lancar dan tiada kesakitan mahupun ketulan darah yang terlalu besar. Jenuh nak menghabiskan maternity pad yang cuma 10 keping sepeket. Ia terlalu besar dan panjang bagi saya sebenarnya!

Sakit rengat

Sakit pada rahim sebaik melahirkan memang kerap terjadi tapi anda jangan risau kerana ia cuma dari rahim yang mengecut dengan kuatnya. Kecutan rahim menghalang aliran darah dari rahim seterusnya mengurangkan risiko tumpah darah. Sakit juga sering berlaku semasa anda menyusu dan ia lebih kerap terjadi pada kandungan kedua dan seterusnya. Walaubagaimanapun, sekiranya sakit rahim makin kuat disertai dengan darah yang berbau busuk. Eloklah anda jangan membuang masa lagi. Jumpalah doktor untuk pastikan tiada jangkitan kuman pada rahim.

#yang ni saya tak pernah rasa masa kelahiran yang lepas (lepas bersalinkan iman nasuha tahun 2012 dulu).. tapi kali ni saya rasa macam berlaku contraction nak beranak sekali lagi pulak.. mungkin juga kali ni sebab saya dapat menyusukan adik Ain seawal sejam pertama selepas kelahiran, yang saya memang tak jangka, tapi saya sangat seronok! Adik Ain memang pandai menyusu, sentuhan pengenalan pertama antara kami berlaku hampir 30 minit juga.. benarlah apa yang saya baca, secara semulajadi bayi akan tahu sendiri mencari dan menghisap puting ibu walaupun sebaik sahaja dilahirkan. itu lumrah! Kelahiran kali ini saya memang lebih relaks dan punya kelebihan melalui pengalaman pertama, jadi menyusukan bayi tidaklah sesukar dahulu. syukur. Sakit rengat memanglah sakit. sangat-sangat sakit.. baru ku tahu inilah rengat yang orang selalu sebut-sebutkan tu..nyut..nyut.. berdenyut-denyut.

Sukar Kencing

Bengkak dan calar pada tisu sekitar ruang faraj dan pundi kencing kadang kadang boleh menyebabkan anda sukar kencing selepas melahirkan. Cuba buat senaman kemutkan faraj semasa kencing dan letakkan pad suam atau sejuk pada faraj untuk kurangkan bengkak. Sukar kencing terjadi tidak lama kerana ia hilang dengan sendiri selepas beberapa hari. Walaubagaimanapun, sekiranya faraj menjadi pedih dan anda kerap terasa hendak kencing setiap 1 jam ia mungkin tanda jangkitan kuman pada pundi kencing. Jumpalah dengan doktor ye.

#alhamdulillah..tiada pengalaman seperti ini di kelahiran kali ini mahupun yang terdahulu.. yang saya tahu, nurse ada masukkan tiub kencing semasa saya di labour room.

Terkencing tanpa kawalan

Kehamilan dan kelahiran menyebabkan tisu sekitar faraj dan sekeliling pangkal pundi kencing tegang secara keterlaluan dan luka. Ia juga boleh menyebabkan kerosakan pada saraf dipersekitarannya menyebabkan kawalan kencing terganggu dan anda akan mudah terkencing apabila batuk, bersin atau ketawa. Tapi anda bernasib baik kerana keadaan ini terjadi untuk sementara waktu sahaja dan anda selalunya pulih sepenuhnya selepas 3 bulan. Amalkan senaman kegel kerana ia mempercepatkan proses pemulihan dan pakai pad wanita sekiranya perlu.

#yer..masalah ni memang melanda saya sejak di akhir fasa kehamilan lagi.. asal bersin, mesti terkencing.. kena selalu bersama pannty liner utk atasi masalah yang selalu ter”ooopppsss dan basah.. yang tak tahan bila sampai mengganggu urusan solat dan ibadat. dah hilang kawalan kencing saya ni.. tetapi, syukur alhamdulillah, masalah ini perlahan-lahan telah pergi meninggalkan saya selepas melahirkan adik Ain Sufi :)

Buasir

Sekiranya anda merasa sesuatu keluar dari dubur dan sakit setiap kali buang air besar, anda mungkin mengalami buasir. Buasir terjadi akibat tekanan yang tinggi semasa meneran yang menyebabkan salur darah sekitar dubur menjadi kembang. Untuk  megurangkan rasa tidak selesa, puan disarankan menggunakan pad berais, diletak pada bahagian dubur. Sekiranya sakit keterlaluan atau buasir menjadi semakin bengkak, anda disarankan berjumpa doktor. Terdapat ubat yang selamat dan boleh dimakan walaupun anda benyusu badan. Untuk mengurangkan risiko buasir, amalkan memakan makanan berfiber tinggi dan minum air secukupnya. Pastikan anda sentiasa aktif semasa hamil dan sekiranya najis keras, anda boleh meminta preskripsi doktor untuk ubat lembutkan najis.

#ohhh nooo.. kali ini saya merasainya.. kita kongsi pengalaman ini bersama : masa meneran kali terakhir utk keluarkan adik Ain, saya terasa ada sesuatu yg keluar dari lubang dubur, waktu tu memang rasa malu gila sebab saya jangkakan tahi, tetapi tidak. sebaliknya ia adalah…. (maaf sebab terlalu berterus terang di sini). sekali lagi saya panjatkan kesyukuran kerana saya sendiri tidak tau akan kewujudan si buasir sehingga dimaklumkan oleh Dr.Wan pada hari kedua di hospital sebelum saya dan adik Ain dibenarkan discharge. Maksudnya, ia sangatlah kecil, sedikit dan tidak menyakitkan.. patutla tak tau ada buasir..hehehe.. saya juga sangat rajin makan ubat berak (ini deskripsi nurse) dan tak lupa ostematrix cinta pertamaku!

Sembelit

Sembelit kerap terjadi mungkin kerana takut luka episiotomi terbuka semasa membuang air besar atau sebab sakit kerana buasir yang bengkak. Untuk mengelakan dari najis menjadi keras, amalkan memakan sayuran dan makanan berfiber tinggi semasa pantang, dan minum sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Jangan dengar tentang mitos orang tua pasal minum air segelas sehari dan tentang sayur sejuk sayur panas dan sebagainya. Dehidrasi dari kekurangan air sebab terlalu berpantang menyebabkan luka anda lambat baik dan air susu menjadi kurang. Sekiranya anda masih lagi sembelit selepas tip di atas, jumpa saja doktor untuk  laksatif yang sesuai semasa pantang.

#tak pernah rasa so taktau.. syukur lagi..

Bengkak Susu

Selepas beberapa hari bersalin, buah dada akan dipenuhi susu dengan banyaknya dan payudara anda akan mula merasa sakit, berat dan bengkak. Rasa tidak selesa pada buah dada selalunya berakhir sebaik sahaja bayi anda mula pandai mengisap susu. Sekiranya masih bengkak, cuba perah mengunakan ‘breast pump’ yang sesuai. Anda juga boleh meletakan tuala sejuk atau suam pada buah dada untuk mengurangkan bengkak. Ubat penahan sakit seperti panadol dan ponstan adalah selamat dan boleh dimakan walaupun anda menyusu.  Bagi mereka yang mengalami susu yang keluar terlalu banyak sampai meleleh, jangan tension pula, anggap itu satu kelebihan dan cuba gunakan pad payudara. Bila malam, cuba letakkan tuala pada buah dada untuk serapan yang lebih optimal.

#jangan sebut-sebut, sebab sekali dah kena yang ni, memang akan demam!

Rambut gugur

Semasa hamil, kadar keguguran rambut menjadi kurang disebabkan rembesan hormon dari uri yang menghalang keguguran rambut. Sesetengah wanita pula mungkin mendapati rambut tumbuh lebih lebat dari biasa. Walaubagaimanapun selepas bersalin rambut anda akan luruh 2 kali ganda lebih kerap dari biasa disebabkan rambut yang tumbuh berlebihan tadi. Ini mungkin menyebabkan anda sedikit bimbang  kerana takut ia mungkin disebabkan pemakanan atau sebagainya. Tapi anda jangan risau, dalam masa 6 bulan, rambut anda akan gugur dengan kadar biasa. Sementara itu, makan makanan berzat dan elak dari mengering rambut secara kerap.

#setakat ni belum lagi, tapi kalau menurut pengalaman yang lepas..memang teruk, dah macam berpenyakit!

Perubahan warna kulit

Anda mungkin perasan terdapat bintik bintik merah pada kulit muka dan leher sebaik sahaja melahirkan, jangan bimbang kerana ia sebenarnya disebabkan oleh saluran darah kecil yang pecah semasa proses meneran. Bintik ini akan hilang selepas 1 minggu. Kesan tegangan pada perut walaubagaimanapun tidak akan hilang dengan senang. Ia akan berubah dari berwarna hitam kepada warna putih cuma selepas beberapa bulan. Perubahan kulit lain seperti jaluran hitam ditengah perut akan hilang sepenuhnya secara beransur ansur.

#oh..yang ni pun tak..mungkin sebab ai ni bukanlah dalam kategori putih atau berkulit cerah..so kalau ada pun, tak perasan.. lol.

Perubahan emosi

Selain dari perubahan fizikal, ibu juga kerap mengalami ganguan emosi seperti ‘mood swing’, dilanda kesedihan tak menentu, dan risau berpanjangan. Ada juga yang mengalami masalah kemurungan atau dipanggil ‘baby blues’. Ia selalunya berakhir selepas 10 hari (jika ada yang mengalaminya) dan dalam masa tersebut, cuba dapatkan tidur secukupnya dan mintalah pertolongan dan nasihat  dari saudara-mara atau ibu jika perlu. Sekiranya  anda merasa kemurungan semakin teruk seperti rasa tiada harapan, berjumpalah dengan doktor

#so far sy belum pernah beremosi sebegini. setakat rasa emoish sikit-sikit tu ada lah. tiba-tiba sebak, rasa nak menangis bila terlalu penat especially masa nak menyesuaikan diri dengan dunia baru. ibu beranak dua. sungguh rasa mcm tak percaya (gosok mata tengok dua budak tengah tido depan mata ni). tambah pulak, sekarang berpantang tanpa mama di sisi. oh rindunya nak bermanja-manja..

Perut buncit dan berangin

Sebaik sahaja melahirkan, fizikal anda akan masih kelihatan bulat, tidak ramping dan ‘flabby’. Sesetengah masih kelihatan masih seperti orang hamil disebab disebabkan usus yang mengandungi angin berlebihan. Jangan risau. Keadaan ini hanya sementara kerana semua cecair badan dan lebihan lemak yang anda kumpul semasa hamil akan hilang perlahan-lahan. Selepas beberapa minggu, anda sudahpun 60-80% hampir kepada bentuk asal anda seperti sebelum hamil. Sekiranya anda menyusu badan secara eklusif, berat anda akan lebih berkurangan dengan kadar yang lebih cepat. Ia memang berkesan ke atas saya. Berterima kasihlah kepada bayi anda.

Stretch Marks

Sebelum itu, kita study dulu apa itu stretch marks. Ia adalah garis-garis putih yang terdapat pada beberapa tempat seperti perut, payudara, paha, lengan.Ia muncul akibat kulit meregang dalam waktu singkat sehingga kulit kehilangan elastisinya. Ia sangat sinonim dengan wanita yg baru lepas bersalin. Mana taknya, cuba bayangkan perut yg kempis, selim melim tiba-tiba meregang sedikit demi sedikit hingga minggu ke 40 untuk tampung tumbesaran baby. Ada yg 2 kilo, 3 kilo, 4 kilogram pun ada..

#part yg satu ni sy memang tak ada masalah. sejak mengandungkan kakak iman dulu, sampai sekarang pun sy bebas dari stretch marks yg hodoh dan boleh jd nightmare buat wanita kan. Rahsia? 2 tahun dulu, saya sapukan Allano lotion, tp kali ini sy amalkan minum Non-GMO Soya dari Shaklee dan gunakan Herbal Blend cream (kadang-kadang).

Pemeriksaan selepas bersalin dan berpantang

Selepas 4-6 minggu, doktor anda akan memeriksa keadaan faraj dan rahim untuk pastikan sistem peranakan anda pulih 100%. Ujian Pap Smear dan US mungkin akan dibuat. Ambil peluang ini untuk bertanya tentang kaedah perancang keluarga, sebarang isu tentang penyusuan dan bayi atau apa jua masalah yang menganggu fikiran anda. Biasanya selepas 6 minggu anda sudahpun sihat sepenuhnya dan dapat menyesuaikan diri sebagai seorang ibu dalam menjalani kehidupan baru.

#Jangan tak tau, selain daripada ziarah daripada kawan-kawan sepermainan, saya juga dilawati oleh jururawat daripada Klinik Kesihatan.

Day 9 : berat baby 3.9kg
Day 15 : luka ibu semua ok. nurse pesan kena rajin perah susu nanti demam. tak sempat timbang baby.
Day 20 : berat baby 4.2kg
Day 31 : to be continued on 10/10/2014. Insha Allah di Hospital Pakar An-Nur bersama gynae kesayangan

Harus diingatkan bahawa masalah yang dihadapi selepas bersalin adalah berbeza bagi setiap ibu. Janganlah anda berasa takut untuk melahirkan anak kerana ia adalah anugerah yang tidak terhingga kepada kita. Percayalah walau sakit macam mana sekalipun, kesakitan itu akan hilang sebaik menatap wajah si comel.

15254598_l

Sekian, perkongsian saya buat masa ini. Semoga anda beroleh manfaat! :)
SOK SEK SOK SEK CERITA SELEPAS KELAHIRAN KEDUA ni masih buat saya seronok bergelar ibu, kerana perasaan itu sangat indah dan sukar digambarkan dengan kata-kata sebaik saya dapat mendakap baby dan menyusukannya.

4,151 total views, 2 views today

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge

Post Navigation