PENGALAMAN MENYUSUKAN SEORANG GURU SEKOLAH

Kisah ini saya dapat hasil perkongsian daripada pengalaman rakan guru yang menyimpan impian untuk menyusukan bayinya dengan susu badannya sendiri. Walau pelbagai halangan dan rintangan yang harus ditempuh, dia tetap cekal dan akhirnya dia berjaya. Semoga cerita ini mampu menyuntik semangat dan menjadi inspirasi buat rakan-rakan guru yang lain juga.

Woman writing alphabet on chalkboard, close-up

Kisah saya seorang guru dan juga seorang ibu yang menyusukan

Tahun ini genap 2 tahun saya posting di tempat baru, atau dengan kata lain sekolah baru. Sebelum ini, saya mengambil cuti penuh tanpa gaji menjaga anak sulung yang disahkan menghidap asthma dan jangkitan kuman di paru-paru sejak usianya 5 bulan. Ketika itu, taska bukanlah tempat yang sesuai buatnya, belum juga dapat jumpa pengasuh yang sanggup menjaga dia yang sering saja sakit dan memerlukan perhatian extra sesiapa yang menjaganya.

Rutin saya di sekolah

Jadual mengajar saya boleh dikatakan agak padat. Lebih-lebih lagi jika saya harus menjadi “guru ganti” di hari-hari tertentu. Hati ini sering saja risau dan galau sekiranya tidak sempat mengepam. Ditambah pula dengan ketiadaan bilik khusus untuk melakukan kerja-kerja memerah susu di sekolah yang rata-ratanya terdiri daripada kakitangan lelaki.

Sudah banyak port yang pernah menjadi tempat persinggahan saya untuk memerah susu, dari bawah meja di bilik guru, surau, makmal sains, bengkel, makmal komputer, pusat sumber, bilik fail, perpustakaan sehinggalah ke dalam stor.

Ada kalanya, keadaan dan suasana sekitar adalah sangat tidak selesa sehinggakan pada peringkat awal, saya terpaksa melupakan niat mahu menyusukan anak dengan susu sendiri. Saya seringkali meninggalkan jadual mengepam. Oleh sebab itu, baju saya sering basah akibat lelehan susu yang tidak dikeluarkan secara konsisten pada masanya (kadangkala mengalir sehingga ke kaki).

Sejak dari itu, breast pad memang saya pakai hari-hari. Jika tidak, pasti saya kena berkejar pulang menukar baju setiap kali terdapatnya bahan bukti di sekitar kawasan Miss B yang kebocoran. Sungguhpun begitu, saya bernasib baik kerana stok susu beku yang dikumpul semasa cuti berpantang masih banyak dan dapat menampung bekalan yang diperlukan adik.

Salah satu usaha dan ikhtiar saya sebaik mendapat tahu akan kehamilan kedua ini adalah menyiapkan diri dengan ilmu berkaitan penyusuan. Saya akui, ia sangat membantu saya dalam melaksanakan misi yang ternyata bukan mudah ini. Sayang pula rasanya jika saya mengalah dengan begitu mudah kerana saya telah membuktikan bahawa saya mampu melakukannya walaupun ia tidak berlaku ketika anak pertama dahulu.

Cabaran penyusuan semakin hari dirasakan semakin mencabar. Apabila kebocoran susu sering berlaku, saya menyedari bahawasanya saya perlu terus memerah. Ia juga mengingatkan saya akan hakikat susu itu adalah hak bayi yang saya kandung selama 39 minggu di dalam rahim.

Bengkel Kemahiran Hidup

Bengkel Kemahiran Hidup

Usaha dan ikhtiar bagi meneruskan misi penyusuan

Saya berusaha mencari alternatif bagi dilema yang sedang membelenggu diri. Pantang ada masa terluang, saya akan membuat lawatan tapak ke tempat-tempat yang dirasakan sesuai. Saya bermula dengan menumpang memerah susu di bengkel kemahiran hidup. Sejak dari hari itu bermulalah episod mengusung pam, cooler beg serta aksesorinya ke hulu ke hilir. Sehingga ada yang menggelarkan saya Akak Doraemon. :) Sepanjang rutin itu, saya masih juga berasa tidak selesa kerana khuatir sekiranya tiba-tiba ada cikgu lelaki yang masuk ke dalam bengkel ketika saya sedang mengendalikan projek.

Ada masanya saya tidak sempat untuk memerah susu lansung. Pernah juga beberapa ketika saya mengalami bengkak susu akibat lewat mengeluarkan hasil. Waktu itu, breast memang rasa sangat tegang seolah-olah nak pecah, tetapi susu tidak mahu keluar. Ini menyebabkan breast juga tidak dapat dikosongkan sepenuhnya. Selain ketulan, rasa kesakitan yang berdenyut-denyut, saya juga mengalami demam yang menggigil. Salah satu kekangan yang saya hadapi ialah kesuntukan masa dan tempat mengepam. Ketika itu, saya tidak mempunyai banyak pilihan lain memandangkan pam yang digunakan agak “bulky” dan harus menggunakan sumber elektrik.

Namun, saya tidak juga serik untuk mencuba cara lain. Saya memujuk sang suami untuk membelikan saya pam yang berciri mobile. Lebih ringan, senang dikendalikan, mudah dibawa ke mana sahaja dan menggunakan kuasa bateri. Sungguhpun harganya agak mahal, namun kami telah bersepakat untuk menggunakan wang simpanan untuk tujuan murni ini. Bagi saya, ia adalah suatu “pelaburan” yang kelak akan memberikan “pulangan” yang tiada bandingannya.

Saya kemudiannya bertukar lokasi pula dengan memerah di dalam bilik guru, di meja saya sendiri. Pada awalnya, ada juga rakan sekerja yang tidak senang dan pelik apabila melihat saya menyarung “nursing poncho”. Katanya “buat apa pakai apron kat sini?” Sebagai salah satu ikhtiar, saya menggunakan shawl atau nursing cover bagi menyembunyikan akiviti saya. Bila orang tanya, saya hanya menjawab dalam nada berseloroh yang saya sedang memasak bekal untuk dihantar ke taska anak. :)

Tugas bersambung di rumah

Pada kebiasaanya anak-anak akan diambil oleh abahnya di taska. Pasti lebih awal kerana saya sendiri bertugas sebagai guru sesi petang. Suatu tugas yang agak mencabar buat suami kerana sementara menanti kepulangan saya, adik akan merengek-rengek seolah-oleh faham tentang masa dan jadual yang telah saya aturkan sebelum mula bekerja. Setibanya di rumah sekitar jam 7 petang hingga 8 malam, saya akan terus mendakap dan menyusukannya.

Mujur juga lokasi sekolah tidaklah terlalu jauh dengan rumah. Namun, sebaik sampai di rumah satu lagi challenge menanti kerana dia hanya mahu berkepit dan menyusu (mengempeng) tanda ingin “melepas dendam dan kerinduan” setelah seharian ditinggalkan.

Di rumah, adik menyusu terus dari payudara saya (direct feeding). Sekiranya dia tidur, saya akan gunakan masa yang terluang untuk tugas mengepam bagi mencukupkan bekalan untuk keesokan harinya. Saya mengaplikasikan konsep “pam hari ini untuk esok” agar anak saya sentiasa mendapat bekalan susu yang baru dan masih segar. Saya juga akan memastikan breast benar-benar kosong setiap kali sesi penyusuan selesai. Ia bagi memastikan payudara dapat diisi semula dengan efisien.

school activities

Cabaran sebagai seorang guru dan ibu

Sebagai seorag guru saya tidak terkecuali untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti pelajar seperti ko-kurikulum, latihan sukan dan majlis sambutan sesuatu perayaan. Saya harus turut serta dalam mengendalikan aktiviti dan majlis yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Saya juga wajib menghadiri seminar atau kursus perguruan yang telah disusun oleh Kemeterian Pendidikan untuk tujuan peningkatan kerjaya. Baby pulak kuat menyusu. Letih sangat-sangat. Masa tu, hasil tuaian pun turut terjejas dengan mendadak.

Pernah juga saya hampir mengalah kerana tuntutan kerja dan rutin harian yang terlalu memenatkan sehingga membuatkan saya beremosi. Ketika itu, memang rasa nak surrender. Tapi bagi saya ia suatu yang dirasai oleh semua ibu yang seangkatan dengan saya. Jika mereka boleh, saya juga pasti mampu melaluinya. Saya mahu jadi ibu yang kuat. Saya tidak terus membiarkannya lama menguasai diri. Saya bangkit. Saya panjatkan doa pada Allah agar niat suci saya ini sentiasa dipermudahkan.

Berkenaan rutin harian seorang ibu dan isteri , yang mana larat saya buat, kerja yang mana saya tak sempat saya tinggalkan. Tidak perlu menjadi terlalu perfect untuk memastikan rumah sentiasa tersusun rapi memandangkan kita mempunyai anak yang masih kecil dan sedang asyik meneroka. Waktu pagi sebelum ke sekolah, saya terlebih dahulu akan mengemas rumah, membasuh baju dan mencuci pinggan. Selebihnya jika tak sempat saya akan buat di kala cuti hujung minggu dengan pertolongan suami.

Pada kebiasannya saya akan memasak menu yang simple tetapi cukup untuk kami sekeluarga sehingga dinner nanti. Jangan terlalu memaksa diri, walaupun kita seorang ibu yang dikatakan hebat serba serbi, kita juga manusia biasa yang kadangkala tidak mampu untuk menjadi superwoman sepanjang masa.

Syukur, suami juga banyak membantu menghulurkan tangan membuat kerja-kerja rumah disamping memberi sokongan moral yang tidak berbelah bahagi. Mana tidaknya, notes ringgit dalam wallet suami pun macam tak luak-luak :) Kami sekeluarga dapat merasai penjimatan dalam perbelanjaan isirumah kerana tidak perlu membeli susu formula untuk si adik. Apabila dia sudah semakin membesar, ada beberapa sesi memerah yang dirombak semula selaras dengan keperluannya yang sudah mula berubah sebaik sahaja mula makan makanan pejal.

Kalau ada mesyuarat penting di saat akhir, saya akan ubah suai sedikit jadual memerah yang telah diaturkan samada dengan memerah susu dengan lebih awal atau minta kebenaran untuk keluar sebentar daripada mesyuarat sekiranya terasa payudara telah penuh atau berlakunya “kebocoran”. Walaupun cuma sebentar, ia adalah lebih baik daripada tak perah lansung. Saya tidak lagi malu, semakin kebal, malah bangga menjadi seorang guru dan ibu yang menyusukan anak dengan susu badan sendiri.

Port perahan - bilik guru

Port perahan – bilik guru

Pengalaman lalu yang sangat bernilai

Alhamdulillah.. sehingga hari ini, saya tidak lagi berasa segan mahu memerah ketika di dalam bilik guru, walaupun kadangkala ada guru-guru lelaki yang lalu lalang dan memandang dua-tiga kali ke arah saya. Saya juga semakin handal memerah di mana sahaja lokasi saya berada. Saya tak peduli sekalipun mereka memandang sinis terhadap saya kerana saya menjalankan tugas seorang ibu yang merupakan amanah dan hak seorang anak. Saya meyakinkan diri saya, tiada apa yang perlu dimalukan, bukannya saya mendedahkan aurat atau membuat kesalahan.

Demi kasih sayang yang tak berbelah bahagi kepada anak, apalah sangat pengorbanan yang saya lakukan ini. Sekiranya saya tidak sempat mengepam susu di sekolah, saya akan pastikan saya memerah di dalam kereta ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Double pump dengan alat bebas tangan yang kami beli ternyata sangat membantu. Saya juga mula belajar beberapa kaedah memperbanyakkan susu badan dan bangun pada waktu tengah malam untuk mengeluarkan “titisan emas” buat anakanda tersayang.

Syukur alhamdulillah, hingga ke saat ini semua urusan saya sering dipermudahkan oleh Allah. Kelengkapan penyusuan saya juga boleh dikatakan semakin hari semakin lengkap dan hampir sempurna. Saya masih juga membaca, mencari maklumat berkenaan ilmu penyusuan dan bertukar pandangan dengan ibu-ibu menyusu yang lain.

pigeon-breastmilk-storage-bottles-2

Saya yang sekarang, bukan yang dahulu

Cabaran dan liku-liku yang harus ditempuh memang banyak, cuma apabila keyakinan sudah meresap ke dalam jiwa, segalanya dapat diharungi tanpa sesal dan keluh kesah. Malah, saya akan lebih kesal lagi jika tidak dapat memberikan yang terbaik buat si anak hanya kerana tidak pernah gigih mencuba untuk melakukannya. Saya yakin, setiap titis keringat dan airmata saya ini akan terbayar dengan ganjaran pahala dari Yang Maha Esa.

Sebagai ibu, kita pasti mahu kasih sayang sentiasa dekat dengan anak yang dikandung selama 9 bulan walau berjauhan dengannya. Kita pasti sanggup mencuba pelbagai cara bagi mengatasi halangan yang tiba. Hasilnya juga begitu berbaloi dan memuaskan hati. Malah, pelaburan awal saya membeli pam susu juga telah mendapat “return” yang berkali-ganda. Dah lebih daripada “pulang modal” pun. :)

Saya sangat bersyukur kerana dapat memberikan susu ibu sepenuhnya kepada anak saya sehingga hari ini. Hubungan saya dengannya juga lebih akrab jika dibandingkan dengan abangnya dahulu yang hanya dapat menyusu badan semasa dalam pantang. Kesihatan si adik juga jauh berbeza dan lebih cemerlang. Dia sangat jarang sakit walaupun diletakkan dalam jagaan taska. Kandungan susu ibu adalah kompleks dan lengkap dengan nutrien yang diperlukan serta tinggi antibodi yang berupaya mengelak penyakit dan jangkitan. Ia adalah makanan terbaik buat bayi yang tidak mungkin sama dengan yang lain.

Sehingga hari ini, saya selalu menjadi rujukan oleh rakan-rakan guru yang lain. Selain kepuasan yang saya dapat setelah berpenat jerih merentasi semua kepayahan, saya juga begitu gembira kerana dapat memberi inspirasi buat ibu-ibu yang lain untuk tekad dan terus menyusukan bayi mereka.

Kadangkala terbit juga rasa kesal kerana saya tidak dapat melakukan semua ini pada abang sulungnya dahulu. Namun, saya percaya, ia adalah salah satu titik tolak kejayaan penyusuan saya hari ini. Terlalu banyak yang saya belajar dan harungi. Ternyata pengalaman lalu bukanlah petanda kepada kegagalan. Ia adalah rezeki buat setiap anak yang dilahirkan ke dunia. Sebagai bonus tambahan, saya juga telah mendapat kembali berat badan ideal tanpa perlu menghabiskan wang yang banyak ke pusat slimming. :)

Saya semakin yakin akan manfaat penyusuan yang terlalu banyak diperkatakan seiring dengan perintah agama sepertimana yang disebutkan dalam Al-Quran. Kini, terlalu banyak maklumat di internet berkenaan penyusuan, selain pam, alat bantuan serta aksesorinya yang sangat mudah diperolehi melalui online atau di pusat barangan bayi.

Pesan saya, buatlah persediaan sebelum menjadi ibu. Lengkapkanlah diri dengan ilmu-ilmu penyusuan. Pada hari ini, sudah terdapat banyak kelas-kelas persediaan penyusuan, kaunselor laktasi, kumpulan sokongan, malah terlalu ramai pejuang-pejuang penyusuan yang boleh dijadikan tempat rujukan.

Hampir semua hospital kerajaan sudah memperkenalkan polisi mesra susu ibu yang juga dipanggil hospital rakan bayi yang menyokong penuh penyusuan susu ibu, termasuklah pusat asuhan bayi yang telah dilatih dengan cara yang betul dalam mengendalikan susu perahan.

Saya sedar, kegagalan menyusukan anak pertama saya dahulu adalah kerana tiada ilmu! Memang bukan senang nak senang, dan tak susah juga untuk susah.

Disamping itu, sentiasalah memanjatkan doa kepada Allah Yang Maha Memberi Rezeki agar susu buat anak kita sentiasa ada dan mencukupi.

Niat yang baik-baik, fikir yang baik-baik.. In sha Allah.. semuanya akan baik-baik belaka. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang menyusukan anak, biar sampai cukup 2 tahun. :)

“Di mana ada kemahuan, di situ ada highway!”

Semoga perkongsian ini bermanfaat :)

Ingin tahu apakah rahsia pemakanan rakan guru saya ini?

Jom tukar-tukar story dengan saya!

Nusaybah Anuwar – 019.383.3656

5,120 total views, 3 views today

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge

Post Navigation