MUSTAJABNYA DOA DI BULAN RAMADHAN

Semalam sempat mengikuti Solat Sunat Tasbih Bejemaah bersama kawan-kawan sepejabat.

Kata Ustazah, solat sunat ini boleh mengampunkan 10 dosa besar. Kalau tak dapat buat hari-hari, buatlah seminggu sekali. Jika masih tak mampu, sebulan sekali. Jika masih juga sibuk, setahun sekali. Seterusnya sekali seumur hidup atau jika masih juga rasa sukar, biarlah orang lain saja yang solat untuk kita.

Agak pedih, tapi memberi kesan pada hati. Sebab tu lah kiat disaran agar selalu mengikuti dan melibatkan diri dalam majlis ilmu, supaya sering diingatkan dan ada kesedaran tentang perkara-perkara sebegini yang selalu kita anggap remeh.

Ustazah ada sentuh juga pasal doa, kita kena selalu mengadu, mohon pada Allah. Dialah yang Maha Berkuasa memakbulkan dan memperkenankan apa kemahuan kita.

Hari ni saya rasa nak berkongsi melalui satu perkongsian yang pada saya cukup menarik. Saya sendiri dah berkali-kali merasai keajaiban doa yang dijawab oleh Yang Maha Pencipta. Kalau bukan padanNya, siapa lagi yang kita nak minta. Tambahan pula di bulan Ramadhan yang suci dan penuh keberkatan ini.

Ini saya petik daripada status Facebook DR.MAZA :

Doa!

doa yang mustajab

 

 

 

 

Semua insan inginkan agar doanya mustajab. Hidup tanpa doa adalah satu kemusnahan. Banyak perkara yang kita perlu mohon kepada Allah. Bukan sahaja nikmat atau cita-cita yang diidamkan pada masa hadapan, namun kita juga perlu memohon agar tidak dihilangkan nikmat dan cita yang telah dicapai. Insan sentiasa memerlukan Tuhan dalam hidupnya. Kehidupan ini jauh lebih besar dari kudrat seorang insan untuk dia mengawalnya. Betapa ramai para penguasa yang merasai diri mereka hebat, tetapi akhirnya tumbang dan tewas. Betapa canggih dan teguh kapal ‘Titanic’ yang bina, namun tenggelam selepas beberapa hari belayar. Siapakah yang menguasai alam?! Allah, Allah dan Allah. Awal dan akhir. Zahir dan batin.

Semakin dekat insan dengan Allah, semakin mustajab doanya. Kemustajaban doa sangat berkait dengan kekhusyukan jiwa hamba yang berdoa. Semakin tertumpu perasaannya kepada kebesaran Allah, semakin pantas doanya dimustajabkan. Sebenarnya, bukannya susah untuk berdoa, tetapi yang susah ialah mencari jiwa yang khusyuk yang menyebabkan doa mustajab. Ramai orang tersalah sangka dalam hal ini. Mereka hanya tertumpu kepada waktu, ungkapan dan tempat berdoa tetapi melupai perkara asas iaitu kekhusyukan diri insan yang berdoa itu. Maka jangan hairan jika ada insan yang tidak dimustajabkan doanya sekalipun dia berada di Mekah, ataupun berada pada bulan Ramadan. Walaupun unsur tempat yang mustajab ataupun waktu mustajab telah dipenuhi, namun dia gagal memenuhi perkara yang asasi iaitu jiwa yang khusyuk yang benar-benar memohon dengan penuh erti seorang hamba. Tumpuan perasaan kepada Tuhan dengan penuh kerendahan diri dan harapan. Jika unsur itu dipenuhi, kemudian diikuti dengan tempat ataupun waktu yang mustajab maka doa menjadi amat mustajab.

Setelah kita memahami hal ini, maka kita cuba memahami bahawa Allah menjanjikan untuk memustajabkan doa mereka yang berpuasa. Ini kerana, puasa pada bulan Ramadan dapat membentuk jiwa yang khusyuk. Ramadan pula waktu yang Allah sayang disebabkan bulan pilihanNYA dan suasana hamba-hambaNYA taat kepadaNYA.

Maka Allah setelah menyebut tentang kewajiban berpuasa pada bulan Ramadan, maka Allah ikuti dengan janjiNYA di mana DIA berfirman: (maksudnya):

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk

(Surah al-Baqarah: 186).

Waktu mustajab berdoa :

  1. Ketika sahur dan 1/3 malam
  2. Ketika berbuka puasa
  3. Ketika azan berkumandang
  4. Ketika azan dan istiqamah
  5. Ketika sujud dalam solat
  6. Ketika turun hujan
  7. Ketika bermusafir

Mintalah pada Allah, kita hanya punya Dia yang sentiasa punya masa untuk kita, yang sentiasa sudi mendengar masalah kita, yang sentiasa murah dengan keampunan walau kita seringkali lupa dan tidak bersyukur atas kurnianya yang telalu banyak dan melimpah ruah.

Rasailah ajaibnya doa dan percaya ialah senjata orang Muslim yang paling hebat!

959 total views, 5 views today

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge

Post Navigation