JANGAN AMBIL RINGAN JIKA SERING TIADA SELERA MAKAN, IA MUNGKIN PETANDA KANSER HATI

Dah lama sebenarnya saya tulis post tentang ini, tapi bila tiba-tiba saya dapat tahu bulan ni ada promosi DTX Complex, hati saya terkenang lagi pada kisah yang sama. Sayu bila fikir, sebak bila sesekali ingatan itu datang walau dalam doa, dia tidak pernah jauh. Alfatihah..

Rasa nak rebah bila tiba-tiba dapat panggilan abi yang memaklumkan saya tentang khabar emak yang terpaksa dikejarkan ke hospital dengan ambulans. Ia sekitar jam 3 pagi di kala umat islam sedang berlumba-lumba menambahbaik ibadat dan amalan di bulan Ramadhan yang penuh berkat.

Kata abi, emak disahkan menghidap kanser hati.

Tak dapat dipastikan di stage berapa, tak sempat buat rawatan apa pun samada secara moden atau tradisi. Allah lebih sayangkan mak. Hari ini mak masuk hospital, malam esoknya mak dah dijemput ilahi. Mudah perjalanan pulang mak.

Apakah sebenarnya penyakit yang mak hidapi?

Hepatoma atau kanser hati.

Ia adalah salah satu kanser yang agak kurang popular berbanding kanser jenis lain walaupun tersenarai dalam 10 kanser utama di negara kita. Hepatoma telah dikenalpasti sebagai penyebab kematian bagi 250,000 hingga 1,000,000 individu pada setiap tahun di seluruh dunia. Mengikut kajian, hepatoma menduduki tangga ketiga bagi kematian berpunca dari kanser pada keseluruhannya.

Menurut statistik, jumlah pesakit kanser hati tidak terlalu ramai iaitu sekitar 1,000 orang, tetapi ia antara kanser yang sukar dirawat kerana kebanyakan kes lewat dikesan akibat ketiadaan gejala penyakit.

Meskipun kanser hati berlaku di seluruh dunia, yang membimbangkan ialah lebih 50 peratus kes membabitkan penduduk Asia dan lebih 70 peratus kes baru dilaporkan setiap tahun datangnya daripada negara Asia, termasuk negara kita!

Hati adalah organ penting yang merangkumi pundi dan duktus hempedu. Ia organ kedua terbesar dalam badan kita yang kaya dengan darah, berbentuk baji, terletak betul-betul di bawah tulang rusuk kanan, di bawah paru-paru. Hati kita berbentuk seperti baji atau piramid dan terbahagi kepada dua bahagian kiri dan kanan.

Fungsi utama hati ialah menapis dan memproses darah daripada bahan toksik, menghasilkan cecair hempedu (bagi membantu pencernaan lemak) membantu proses sintesis protein darah, glukos dan kolesterol, membantu proses metabolisme (ubat, vitamin, alkohol, hemoglobin) sebagai stor penyimpan (untuk vitamin larut lemak, zat besi dan glikogen), ejen penyingkiran (menyingkirkan sel darah merah yang mati dan bahan sisa metabolisme) dan meningkatkan daya ketahanan badan.

Pada peringkat awal, kanser hati tidak menunjukkan gejala. Gejala penyakit hanya timbul apabila penyakit sudah teruk (peringkat ketiga dan keempat) iaitu ketika fungsi hati sudah terjejas teruk.

Antara gejala atau simptom yang biasa dialami oleh pesakit kanser hati ialah:

  • Penurunan berat badan tanpa sebab
  • Tiada selera makan berpanjangan
  • Terasa sangat kenyang walaupun makan sedikit
  • Ada benjolan keras pada bahagian kanan di bawah tulang rusuk
  • Sakit sekitar bahu kanan
  • Kulit menjadi kekuningan, termasuk mata
  • Abdomen atas (kanan) terasa tidak selesa
  • Sentiasa berasa lesu dan tidak bermaya
  • Sering loya, mual dan kerap muntah

Apa yang saya masih ingat, emak memenuhi hampir kesemua segala yang tersenarai. Ubat hospital yang mak kena makan sebekas penuh. Kadang-kadang mak kata, dia kenyang makan ubat je. Mak cerita, dia disuruh makan ubat-ubat semua tu sejak bersalin anak yang bongsu, suami saya. memang Simptom-simptom yang ditebalkan semua ada pada mak. Kami sempat menjaga mak lebih kurang sebulan ketika dia sakit.

Saya memang ingat sangat sebab emak selalu mengadu pedih ulu hati, hilang selera makan, sentiasa kenyang walaupun seharian tak jamah makanan. Setiap malam mak akan minum air halia yang dicampur bawang putih sebab dia rasa pedih ulu hati, perut sebu dan tak boleh tidur.

Berkali-kali juga kami bawa mak ke klinik untuk 2nd dan 3rd opinion tapi feedback yang kami dapat semua sama. Mak ada gastrik. Usus mak dah luka dan dah jadi ulser sebab tu rasa pedih.

Mak memang suka duduk dengan kami sebab saya kahwin dengan anak bongsu dia. Suami saya, anak bongsu dia ni adalah anak kesayangan. Pemutus tali buaian kata mak. Mak pernah kata “kalau apa-apa jadi dekat anak bongsu aku ni, aku mati” masa abi cuba-cuba panjat pokok nangka dekat belakang rumah. Begitu sekali sayangnya mak pada anak lelaki nya yang paling kecik tapi tak kecik ni.

Sebagai menantu bongsu juga, saya ralat tak dapat bantu mak ringankan kesakitan waktu itu. :( Seperti juga kanser-kanser lain, semua gejala ini hanya akan muncul apabila kanser sudah sampai ke tahap serius. Pembunuh dalam diam yang menyebabkan kebanyakan pesakit lewat datang ke hospital bagi mendapat rawatan.

Mula-mula memang tak rasa sakit, dan nanti bila dah dapat diagnose kesakitan sudah di tahap tak dapat ditanggung oleh tubuh lagi. Apa yang lebih menyedihkan, pada peringkat ini penyakit sukar dirawat dan dalam kebanyakan kes peluang hidup adalah tipis.

Tak sampai 24 jam mak berada di wad Hospital Bukit Mertajam sebelum pemergiannya. Sepatutnya appointment mak yang dah dijadualkan dengan pakar keesokan harinya, tapi tak sempat. Allah Maha Mengetahui.

Terngiang-ngiang sehingga kini kata-kata mak, “Allah tu tau apa yang terbaik, esok mak mati senang je, sebab korang dah susah lama jaga apak sakit”

Alfatihah buat arwah ibu mertua saya, Puan Hindun Bt Mat Idris.

Mak, saya rindu mak…. :(

22,023 total views, 9 views today

One Thought on “JANGAN AMBIL RINGAN JIKA SERING TIADA SELERA MAKAN, IA MUNGKIN PETANDA KANSER HATI

  1. Pingback: MAK, SAYA RINDU MAK... | Nasuha Vita Life

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge

Post Navigation