HIPOGLISEMIA ANTARA PUNCA KEMATIAN MENGEJUT TANPA DIDUGA

gula rendah dalam darah

Anda selalu melewat-lewatkan waktu makan?

Sering tidak endah dengan sarapan pagi?

Lewat mengambil sarapan, terkejar-kejar nak punch card, tergopoh-gapah nak masuk dewan kuliah akibat daripada terlewat bangun pagi atau kesesakan lalulintas adalah fenomena biasa di kalangan masyarakat kini. Dari golongan dewasa, remaja, malah kanak-kanak juga tidak terkecuali. Oleh sebab itu juga, timbulnya istilah “brunch” (gabungan breakfast dan lunch) ekoran daripada tak sempat makan breakfast, kemudian terus mengambil lunch lebih awal kerana terlalu lapar.

Kalaulah sempat minum segelas air kosong atau seteguk air mineral, itu dikatakan sudah cukup bertuah dan memadai. Teruk tapi inilah yang sering terjadi sebenarnya!

Perhatikan simptom-simptom berikut, adakah anda pernah atau sering mengalaminya ?

  • tangan dan kaki menggeletar
  • jantung rasa berdebar-debar
  • berpeluh dengan banyak
  • penglihatan menjadi kabur
  • terlalu penat, letih dan lesu
  • pitam secara tiba-tiba

Simptom dan gejala yang dialami sebenarnya merupakan signal kepada tubuh supaya berbuat sesuatu sebelum berlaku kemudaratan. Seboleh-bolehnya elakkan dan mohon ambil serius dengan keadaan ini, ia sangat tidak baik untuk kesihatan dan boleh membahayakan nyawa juga.

Tahu tak apa yang dinamakan hipoglisemia ?

Sedar tak kita sangat mudah dan sering termasuk dalam kategori ini?

Alangkah bertuahnya kita jika masih mampu kembali bangkit semula setelah rebah dan pengsan akibat gejala hipoglisemia yang sering dianggap remeh ini.

Badan kita memerlukan glukosa dalam darah untuk menjana tenaga. Glukosa pula dapat diperolehi daripada makanan yang kita makan. Jika bekalan glukosa ke otak mencukupi, ia membuatkan seseorang cerdas, cergas dan aktif. Tetapi jika glukosa tidak mencukupi dalam badan, maka seseorang akan menjadi tidak aktif, otak mudah letih, malas dan tidak berupaya menjalankan aktiviti seharian dengan jayanya.

Sebahagian orang mudah berasa mengantuk atau fungsi kognitifnya menurun beberapa jam selepas makan, dan ianya dikatakan sangat berkait rapat dengan menurunnya kadar gula dalam darah, atau “gula darah rendah” atau dikenali juga sebagai hipoglisemia.

Ingat, terlebih gula dalam darah adalah merbahaya, dan terlalu kurang gula juga tidak meletakkan kita dalam zon selamat!

Apakah yang dikatakan sebagai hipoglisemia ?

hypoglicemia - gula rendah dalam darah

hypoglicemia – gula rendah dalam darah

Hipoglisemia bermaksud tahap glukosa dalam darah yang terlalu rendah. Ianya sinonim dikaitkan dengan penyakit kencing manis atau diabetis. Ianya boleh terjadi apabila paras gula terlalu rendah atau menurun mencecah bawah 3.9 mmol/L (60 or 70 mg/dL) tapi seringkali individu hanya merasa simptom apabila mencapai aras 2.8 hingga 3.0 mmol/L (50 to 54 mg/dL).

Ini terjadi apabila seseorang menyuntik terlalu banyak hormon insulin (terlebih dos insulin) atau makan terlalu sedikit, tidak makan lansung atau membiarkan perut tanpa makanan terlalu lama selepas mengambil ubat anti-diabetes. Ia boleh juga terjadi semasa atau selepas aktiviti fizikal yang tidak terancang. Simptom awal kejadian hipoglisemia termasuklah pengsan, sering keletihan, pening kepala, berpeluh sejuk, rasa lapar yang teramat sangat, fungsi mental yang menurun, mudah tersinggung, cepat marah, dan tidak sedarkan diri dengan tiba-tiba.

Bagi pesakit yang menghidapi kencing manis, hipoglisemia boleh berlaku akibat ubat-ubatan kencing manis seperti insulin atau sulfonilurea. Untuk individu yang tidak menghidapi kencing manis, hipoglisemia merujuk kepada tahap gula yang rendah hingga menimbulkan tanda dan simptom kepada individu tersebut.

Bagi mereka yang tidak makan dalam jangka masa yang lama, tahap glukosa dalam darah akan menurun secara perlahan-lahan. Ini akan merangsang pengeluaran hormon glukogon dari pankreas supaya tahap glukosa dapat dipertingkatkan.

Bagaimana hipoglisemia boleh terjadi ?

Untuk mendapat kefahaman bagaimana hipoglisemia boleh terjadi, kita perlu terlebih dahulu memahami bagaimana sistem tubuh kita mengawal kadar gula dalam darah.

sugar lips

Sel tubuh kita memerlukan gula untuk menjana tenaga untuk berfungsi dengan baik. Dalam badan individu yang normal, badan kita menguraikan gula daripada makanan berasaskan karbohidrat seperti nasi, pasta, sayuran, roti dan buah-buahan. Gula ini akan diserap ke dalam darah selepas makanan dicernakan.

Apabila aras gula dalam darah meningkat, kelenjar pankreas akan bertindak merembeskan hormon insulin untuk mengawal aras gula supaya ia tidak menjadi terlalu tinggi. Hormon insulin akan bekerja untuk menyimpan gula yang berlebihan dalam hati dan otot dalam bentuk glikogen. Ia juga membantu agar gula dalam darah lebih mudah diserap oleh sel badan yang berkerja.

Apabila kita berpuasa atau tidak makan dalam jangka masa yang lama, aras gula dalam darah menurun. Apabila aras gula menurun, kelenjar pankreas akan merembeskan hormon glukagon yang akan membebaskan gula daripada glikogen yang tersimpan di hati dan otot. Dalam tubuh individu normal, hormon insulin dan glukagon ini akan bekerjasama untuk mengawal aras gula dalam darah pada aras yang optimum.

Bagi individu menghidap kencing manis, ini tidak berlaku. Kelenjar pakreas mereka kurang merembeskan hormon insulin dan ini menyebabkan aras gula meninggi secara tidak terkawal. Akibat kencing manis juga, sel badan mereka menjadi kebal terhadap hormon insulin menyebabkan sel badan tidak dapat menggunakan gula dalam darah apabila ia memerlukannya.

Atas sebab ini, pesakit kencing manis perlu mengambil ubat-ubatan untuk meningkatkan kandungan insulin dalam darah. Aras gula harian kita akan berubah mengikut apa yang kita makan dan keadaan badan kita pada waktu-waktu tertentu. Jika kita tidak menyelaraskan dos ubatan mengikut perubahan aras gula dalam darah kita, aras gula kita boleh menurun secara mendadak, seterusnya menyebabkan kejadian hipoglisemia.

Bagi individu yang menghidapi kencing manis, hipoglisemia boleh berlaku apabila mereka mengalami jangkitan kuman, mengalami kegagalan buah pinggang, apabila menukar dos atau jenis ubat, terlebih dos insulin secara tidak sengaja, tidak mengurangkan dos ubatan apabila berpuasa dan sebagainya.

Bacaan gula yang rendah dari 2.8 mmol/L to 3.0 mmol/L (50 to 54 MG/Dl), seseorang boleh pengsan, tidak sedarkan diri atau mengalami sawan. Jika tidak segera diselamatkan dengan pengambilan glukosa samada dengan minum air gula atau melalui itravena, seseorang juga boleh meninggal dunia.

Apa yang perlu dilakukan jika hipoglisemia terjadi ?

Apabila anda atau ahli keluarga anda mengalami tanda hipoglisemia, anda disarankan untuk mengambil 15-20 gram gula glukos atau karbohidrat ringkas. Usaha pemulihan yang berkesan ialah minum minuman bergula atau minuman yang manis. Suntikan intravenous glukosa atau suntikan intramuscular glucagan akan memulihkan kesedaran pesakit dengan cepat. Gula glukos yang boleh digunakan antaranya:

  1. Tablet glukos
  2. Pil atau gel gula
  3. 2 sudu kismis/ sebiji kurma
  4. 1/2 cawan jus
  5. 1 sudu gula atau madu
  6. Gula-gula kecil berbentuk keras seperti jellybeans atau coklat

Rutin kehidupan masyarakat kita masa kini sering mengabaikan jadual makan yang teratur terutamanya sarapan pagi, sedangkan ia merupakan sesuatu yang sangat penting setiap hari sebelum memulakan tugas atau pekerjaan.

Apabila anak semakin dewasa dan mencapai usia akil baligh, mereka akan berdepan dengan krisis pemakanan. Antara sebab lain ialah cabaran kehidupan dan kekangan masa di kalangan ibu-bapa dan keluarga yang bekerjaya. Dalam tempoh ini juga, ibu bapa merupakan individu penting yang berperanan mengambil berat dan mengawasi diet anak-anak bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan seperti individu normal.

Justeru, ibu bapa hendaklah tegas dalam corak pemakanan anak untuk memastikan paras gula di dalam tubuh tidak terus meningkat, sekaligus memendekkan tempoh masa kanak-kanak itu menjadi mangsa serangan penyakit jantung, tekanan darah tinggi strok, rosak penglihatan dan buah pinggang. Pengetahuan dan pencegahan awal tentunya dapat mendidik anak-anak dengan corak pemakanan sihat sekaligus mengurangkan risiko diabetis atau penyakit kardiovaskular lain yang sangat mudah berlaku di kalangan masyarakat kita hari ini.

Secara lazimnya penyakit kencing manis tidak ada ubat untuk menyembuhkannya. Pengidap kencing manis perlu menjaga pengambilan gula serta mengambil ubat sepanjang hayat. Hanya dalam kes pembedahan bagi menggantikan atau menanam sel kelenjar pankreas maka badan kembali mampu untuk menghasilkan insulin secukupnya.

You don’t know what you have till you lose them!

7,334 total views, 1 views today

One Thought on “HIPOGLISEMIA ANTARA PUNCA KEMATIAN MENGEJUT TANPA DIDUGA

  1. Pingback: KENCING MANIS, APA YANG KITA FAHAM DAN APA PULA KATA PENGAMAL PERUBATAN ?

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge

Post Navigation