DIARI MAK TAK MARAH ANAK SIRI 1

Bismillah..

Mata rasa mula nak tidur, tapi belum berat benar, jadi masih tidak mahu lelap.

Sedikit coretan buat watak utama yg selalu jadi inspirasi blog ibu. Moga ibu tak mudah lupa dan selalu beringat-ingat.

Google Pict : StepMom Film

Google Pict : StepMom Film

Sejak masuk group maktakmarah anak ni, sy selalu berfikir lebih dari satu kali sebelum marah, pukul atau tinggikan suara dgn Iman Nasuha. Kurang lebih hampir seminggu. Tidaklah begitu rigid, tetapi saya dapat rasa lebih 60% dah berkurang tindak tanduk negatif itu.

Apa yg sy perasan sgt, Nasuha semakin mudah dikawal, semakin dgr ckp, dan semakin kurang peel luar biasa. Dan yg paling buat sy tersentuh ialah dia lebih rapat dgn saya akhir-akhir ini. Tak terungkap dgn kata-kata. Sungguh. Sikit-sikit nak ibu. Nenen nak ibu bancuhkan, berak nak ibu cebokkan, mandi nak ibu jiruskan, baju nak ibu pakaikan, tidur nak ibu gosokkan. Kalau tak, sebelum ini semua abi!

Memang ibu akui, ibu lebih garang drpd abi. Buktinya itulah. Bkn sikit, tp berganda-ganda garangnya. Ini sedikit ganjaran yg Allah beri utk ibu kerana bersabar dgn anak syurga. Dapat rasa betapa ibulah insan yg seorang anak perlukan sentiasa dlm hidupnya. Ibu betul-betul rasa bahagia dan bersyukur. Kamulah amanah dariNya yg harus ibu pelihara.

Menjalankan tugas sebagai ibu bapa bukanlah semudah menjadi ibu dan bapa. Mudah? Seperti saya, perjalanan bergelar seorang ibu tidaklah terlalu mudah, namun tidak juga teramat sukar.

Positif UPT

Positif UPT

Saya disahkan hamil ketika usia perkahwinan masuk bulan ke 2. Namun, kehamilan pertama itu berakhir ketika kandungan berusia 8 minggu. Fully aborted. Tanpa D&C procedure. Kesedihan yg dialami waktu itu mengatasi kesakitan yg saya rasa. Bukan tidak redha dgn ketentuan Yang Maha Esa, tetapi sy terlalu ingin menjadi seorang ibu.

Kemudian, sy hamil lg 8 bln kemudian. Setelah beberapa kali bertemujanji dgn pakar wanita. “Tiada masalah. Cuma perlu bertenang dan rileks. Jgn tensi-tensi. Mengganggu kesuburan. Makan vitamin.” Bilang dokter. Dan dgn lapang dada, saya akur.

Dengan kasih sayang Yang Maha Kuasa juga kali ini saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan yg sihat dan serba sempurna. Genap 40 minggu dia bersama saya di alam rahim. Iman Nasuha, cinta hati ibu dan abi.

Kini, bayi itu telah menjangkau umur 2 tahun. Tidak lagi bergelar bayi kerana sudah boleh berjalan, bercakap dan mengusik emosi kami. Ya. Anak saya sudah besar. Sudah boleh dipanggil kakak kerana pada waktu ini saya sudahpun memberikan dia seorang lagi adik yg berkongsi sama jantina.

20140912_181755

Saban hari, saban malam saya selalu sebak, sayu setiap kali melihat dua anak matanya. Dia yg saya tunggu-tunggu sehingga beberapa kali pecah empangan airmata. Benar. Dia dah besar sekarang, tapi masih belum dewasa. Masih belum mengerti akan perasaan ibu dan abi tika sarat dengan tekanan akibat tugas dan tanggungjawab tuntutan majikan.

Jadi,

Kenapa mesti saya marahkan dia?
Kenapa perlu saya sebat telapak tangan kecilnya?
Kenapa harus saya carik dan robek emosinya?

Sudah sepatutnyalah kerana dia saya korbankan sedikit waktu bersenang-senang. Wajar juga jika kelak dia menyalahkanmu kerana gagal menundukkan ego walau cuma dgn si anak kecil. Apa sudah lupakah kamu Nusaybah pada doa-doa terdahulu kamu yg terlalu inginkan kehadirannya ?

Bila siang hari dia berada dlm jagaan taska, jauh dari pandangan mata, saya selalu rindukan dia. Terbayang-bayang wajah comelnya yg iras abi. Teramat comel. Yalah, siapa lagi yg nak puji anak dgn sepenuh hati melainkan ibu bapanya sendiri. Kita semua pun begitu. Terngiang-ngiang suara kecilnya yg comel menyanyi girang. Masih pelat, tp bila diamati, perlahan-lahan kami dapat faham butirnya.

Nasuha suka membebel sorang-sorang. Terkadang lucu melihat dia mengomel marahkan teddy bear dan soft toy yg selalu jd temannya di rumah. Disusunnya upin, ipin, bear1, bear2 di sekitar ruang yg dipilih. Dia tak pandai berfrozen, mahupun princess. Gaya dan dialong sokmo ada “amboiii…” penangan kakros belaka ni. Adik muntah pun nak dimarahnya. Muka memang copy paste abi, tapi tang garang tu, herm..inherit ibu dia lah gamaknya kot. Kuah dah tumpah ke nasi lah ibu. Tak apalah, janji kuah tak tumpah ke lantai, nanti licin akan buat orang jatuh tersembam.

20140924_161926

Satu hobi dia yg saya nampak ialah dia sgt minat pada bahan bacaan. Buku, majalah atau naskah alquran pun mampu buat dia cukup teruja. Pernah sekali saya menjerit bila tiba-tiba ternampak Nasuha sedang mengusung kitab itu dgn sepenuh keringat. Silap saya. Tidak terus menyimpannya di rak ataupun meja yg lebih tinggi dan selamat usai digunakan.

20130519_215236_1 20130519_215236_2

Tengok memek muka dia tu. Waktu ni umur Nasuha 9 bulan kalau tak silap. Kecik-kecik lagi dah tunjuk potensi bila besar nanti nak uji kesabaran ibu sokmo-sokmo.

Kadangkala dia suka ambil perhatian kami. Mau selalu dicium-cium. Tak semena-mena nak duduk atas riba segala. Katanya masakan adik boleh tapi dia tidak. Walhal dia yg hadir dulu dlm hidup kami yg dahulunya cuma bertiga.

Model krim ibu putih

Model krim ibu putih

Ada masanya dia terlebih kreatif. Diambilnya krim lampin adik. Dicalit sedikit pada lengan. “Nampak putih sikit kulit aku”. Mungkin sekali itu yg dituturkannya dalam hati. Dicuit lagi krim yg masih berbaki dlm botol. Dicalit pula pada kaki. Herm..macam seronok. Cuit, calit, cuit, calit, dia jadi asyikkk.. hampir terlupa yg tindakannya itu bakal buat ibu naik angin.

Tiba-tiba nanti bila ibu atau abi yg selalu sibuk scrolling newsfeed sedar akan ketiadaan Nasuha, mereka akan bergegas mencari di setiap sudut rumah. Juga akhirnya terpaksa menyaksikan krim yg sudah habis sebotol berada di tgn Nasuha dgn muka yg sudah seperti tepung gomak.

Walaupun dia cuma tersenyum dgn calitan putih di sekitar badan. Tentu saja Nasuha akan dimarahi, dirampas akan botol krim yg sudah kosong dan diberi pengajaran percuma atas tindak tanduknya. Jika ibu penat, hukuman ibu juga tentunya lebih berat lagi.

13247_10152473628461938_5087382064579404036_n

Memang bkn senang nak tanggalkan kekotoran pada baju yg sudah berminyak dan melekit-lekit. Tapi bkn mudah juga buat ibu melupakan setiap momen indah bersama kamu yg cukup membahagiakan.

Selalu Nasuha kantoi, masa curi-curi hijacked smartphone ibu. Banyak kali dah Nasuha tertangkap waktu diam-diam browsing guna android abi. Berguling-guling Nasuha keliling rumah mahu tunjuk protes sebab halang kemahuannya. Silap haribulan ada bahagian tubuh yg jd mangsa. Semua kerana rasa geram yg tak berpenghujung. Gara-gara ingin melepas perasaan. Walhal keinginannya cuma satu. Perhatian ibu dan abi. Kasihan si anak.

Ya Allah. Terasa betapa kejamnya ibu. Apa agaknya yang kamu tahu di usia begini? Walau adakalanya kamu kelihatannya seperti faham dan mengerti benar perasaan ibu. Menghulur tangan mohon maaf dan memeluk erat ibu bila terasa diri sendiri bakal dimarahi. Saat ini pipi ibu memang sudah basah sebasahnya, hidung ibu rasa sudah ada lendiran, nafas ibu rasa sudah tersekat-sekat, dan ingatan ibu hanya padamu.. Rabak.

Maafkan ibu sayang, ampunkan atas semua ketidakwajaran yg ibu lakukan. Tumpahkanlah air sebanyak mana yg kamu mahu, habiskanlah bedak berapa botol pun yg kamu suka, corengkanlah sofa secantik mana yg kamu ingin. Ibu tak mahu lagi marahkan kamu. Ibu taknak kehilangan kamu. Ibu sayang kamu to the moon. Satu lg saham akhirat ibu. Moga kelak ibu beroleh syafaat membesarkanmu melalui doa anak soleh.

MTMA

#DIARIMAKTAKMARAHANAK

#NOVEMBER15

1,828 total views, 1 views today

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge

Post Navigation