ADAB DAN TIPS PEMASARAN ONLINE

PEMASARAN adalah antara aspek terpenting dalam perniagaan. Ia bukan sahaja perlu menitikberatkan persoalan pengeluaran produk yang berkualiti dan memenuhi kehendak pelanggan, malah peniaga juga perlu proaktif membina rangkaian perniagaan melalui pemasaran produk yang berkesan.

Laman sosial ternyata berkuasa menjadi tempat kita membuat aktiviti promosi, pemasaran dan jualan. Semua aktiviti ini perlu dilakukan dengan penuh adab, tertib dan etika. Kita sendiri pasti berasa bosan jika rakan kita asyik men-tag kita dengan gambar-gambar produk mereka secara semberono. Kemunculan Facebook dan Instagram telah mengubah landskap pemasaran dunia di mana pemasaran melalui medium-medium seperti ini memerlukan lebih banyak komunikasi berbanding iklan.

Kecanggihan teknologi masa kini membuat kita saban hari disajikan dengan pelbagai bentuk perkongsian di laman internet termasuklah post dan status update berkenaan produk jualan, tidak kurang juga luahan perasaan yang lebih bersifat peribadi dan sepatutnya tidak sewenang-wenangnya dikongsi dengan masyarakat umum. Jika ditanya kepada saya secara peribadi juga, saya kadangkala jelik dengan sikap sesetengah peniaga online yang kononnnya ingin “bertindak bijak” mengambil peluang ini dengan menjalankan perniagaan dalam talian, menggunakan kos yang minima tanpa mengambilkira sensitivity masyarakat dan mempraktikkan ethics serta memandang enteng bisnes manners yang sepatutnya menjadi pokok utama.

Walau apa jua target dan matlamat kita dalam memaksimumkan kewujudan gadgets, tablet dan pelbagai peranti lain yang semakin hari semakin melonjak di pasaran, kita tidak seharusnya mengabaikan petua mujarab dan pantang larang berbisnes online. Antaranya :

  1. Amalkan tindakan berhemah –  Lebih bersifat berkongsi pengalaman, menyampaikan maklumat dan tidak memaksa. Elakkan jualan secara lansung (hard selling).
  2. Profil benar dan berpengaruh – Membina kepercayaan seseorang sebelum menjadikan kita sebahagian daripada rakan online. Seboleh-bolehnya letakkan jurang dan asingkan kandungan profile peribadi dan bisnes bagi mengelakkan ia menjadi viral di kalangan pemilik akaun laman social itu sendiri.
  3. Gunakan saluran yang betul – Sekiranya ingin menjual atau mempromosikan sesuatu produk, adalah lebih professional dan sopan jika Fanpage diwujudkan sesuai dengan fungsi dan tujuan fanpage itu sendiri (jualan produk/servis). Paparkan maklumat berkaitan bisnes dengan lengkap namun ringkas dan mudah difahami.
  4. Menjaga kualiti status Post/Updates – Apa jua status yang kita taip harus sesuai dengan aktiviti semasa di dunia sebenar. Kata-kata yang dicatat juga harus dipilih dengan berhati-hati. Kurangkan tabiat suka memuji-muji kehebatan produk kita yang sudah tentu nampak seperti terlalu menunjuk-nunjuk. Gantikannya dengan testimonial daripada pelanggan. Biar mereka yang ‘mendakwahkan’ rakan mereka tentang produk kita.
  5. Mematuhi syariah – Produk atau barang yang hendak dijual mestilah jelas, wujud dan mampu diserahkan kepada pelanggan mengikut masa dan harga yang dipersetujui bersama. Sekiranya gagal dipatuhi, maka kontrak tersebut adalah haram kerana mengandungi unsur gharar (keraguan).
  6. Pengiklanan – Hendaklah bersifat telus, menerangkan ciri-ciri yang jelas berkenaan produk, benar dan tidak boleh digambarkan secara berlebih-lebihan sehingga memukau dan menyebabkan pengguna tertipu.

fb

Bidang keusahawanan bukan satu bidang yang hanya berdasarkan nasib, takdir, atau perjudian. Islam tidak pernah menghalang kita untuk mendapatkan keuntungan, namun biarlah keuntungan tersebut diperolehi dalam ruang lingkup batasan-batasan yang telah digariskan.

Namun, dalam banyak keadaan kita lupa untuk memenuhi tahap yang diinginkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya rezeki bukan datangnya daripada manusia, namun ia mutlak datangnya daripada Allah SWT.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan yang sebenar adalah kekayaan jiwa. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kejayaan yang hakiki dari sudut pandangan Islam adalah apabila kita dapat meraih keuntungan dunia dengan mendapat redha Allah SWT hasil usaha yang optimum dan berdasarkan syariah Allah SWT. Hidup berkat, akhirat pasti akan selamat.

Wallahualam…

1,340 total views, 1 views today

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge

Post Navigation