9 CARA MUDAH MENCUKUR SENDIRI RAMBUT BAYI BARU LAHIR DI RUMAH

Ada banyak pendapat dan pandangan tentang mencukur rambut bayi yang baru lahir. Ramai yang menganggap apabila rambut si kecil dicukur, ia akan tumbuh dengan lebih lebat, cepat dan cantik. Tetapi, ada juga yang menyatakan bahawa, rambut bayi akan berkurangan dan lambat tumbuh.

Yang mana satu? Penting ke semua ni?

Menurut perspektif Islam pula Rasulullah s.a.w. bersabda,

Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi)

Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan aqiqah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan disamakan dengan nilai perak dan kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin.

Walaubagaimanapun, ulama hari ini menyatakan, emas boleh digunakan bagi menggantikan perak. Bahkan, mengikut Islam juga, pada hari ketujuh akan dilakukan tahnik.

Sebelum itu, kenapa penting untuk mencukur rambut bayi yang baru lahir?

Kulit kepala bayi akan membawa bersama bahan gris dan lemak dari rahim ibu yang melekat semasa proses kelahiran berlaku. Ia hanya boleh dibersihkan dengan sempurna dengan cara mencukur rambut bayi tersebut. Islam menggalakkan amalan mencukur rambut bayi sehingga botak supaya segala kekotoran yang keluar daripada rahim dapat dibuang dan membolehkan rambut baru tumbuh semula dengan sihat.

Selain akan membuat si kecil berasa sejuk dan lebih selesa dengan kepala yang ringan, bayi yang mengalami masalah kulit kepala akan lebih mudah dipantau. Ada juga bayi yang mengalami kulit kepala bersisik atau cradle cap yang teruk. Tindakan mencukur juga akan memudahkan tugas doktor untuk melakukan pemeriksaan dan rawatan yang sewajarnya.

Cara mudah mencukur rambut bayi :

1. Sediakan barang-barang keperluan mencukur seperti besen berisi air suam, pisau cukur, cairan antiseptik, putik kapas (cotton buds) dan 2 helai tuala kecil.

2. Bersihkan rambut bayi dengan syampu untuk mengelakkan berlakunya jangkitan jika terjadinya luka semasa sedang mencukur

3. Pegang bayi dalam posisi kepalanya di siku agar tidak ada bahagian kepala yang terhalang semasa proses mencukur

4. Usahakan keadaan seselesa yang mungkin untuk anda dan bayi supaya si kecil tidak berasa kepanasan atau terganggu dengan bunyi bising

5. Basahkan rambut bayi dengan air suam menggunakan lampin atau kapas muka, jangan terlalu basah tetapi cukup sekadar melembapkannya sahaja

6. Gunting dahulu sedikit demi sedikit rambut bayi sehingga menjadi sangat pendek agar kelak mudah untuk dilakukan proses mencukur

7. Regangkan lipatan kulit kepala bayi dengan jari telunjuk dan jari tengah, kemudian barulah cukur rambut bayi secara perlahan-lahan sambil diselang-selikan dengan membersihkan saki baki rambut pada pisau yang digunakan dengan air suam

8. Mulakan dengan keadaan kepala ke atas, diikuti dengan menterbalikkan bayi dalam keadaan kepala ke belakang seperti meniarap tetapi dengan sebelah tangan yang memangku tubuh bayi di atas ribaan untuk memudahkan bahagian yang sukar dilihat

9. Sekiranya berlaku luka, keringkan kepala bayi terlebih dahulu sebelum menyapukan ubat antiseptik pada kawasan luka dengan putik kapas untuk mengelakkan jangkitan kuman

Mudah kan?

Macam saya dan abi, memang rasa thrill gila masa bergotong-royong mencukur rambut kakak Iman Nasuha dan adik Ain Sufi. Dan disebabkan keterujaan nak godek sendiri rambut anak, dekat separuh hari baru siap proses mencukur. fuh! Bergilir-gilir dengan abi, siap boleh rehat dulu and sambung balik lepas tu. Anak pertama lah katakan masa tu.

kakak Nasuha Day 9

kakak Nasuha Day 9

 

 

 

 

 

 

 

Dua-dua rambut jenis lain-lain. Kakak Nasuha rambutnya hitam lebat dan lurus. Masa adik pulak, tak sampai sejam dah settle semua. Dah terer sikit lah sebab dah anak nombor dua kan. Lagipun, rambut adik nipis je, sedikit perang dan halus macam bulu jagung gituh. hehehe..

Ain Sufi Day 14

Ain Sufi Day 14

 

 

 

 

 

 

 

Menurut kata-kata orang tua, lepas dah siap bercukur, boleh diletakkan daun asin (ada yang panggil cekur manis) yang telah dilumatkan pada kepala bayi untuk menyejukkan.

Ada juga, malah ramai ibubapa hari ini yang mengadakan majlis khas untuk mencukur rambut bayi, dengan disertai alunan marhaban, selawat dan berzanji sambil bayi didukung oleh penjaga sambil dicukur sedikit demi sedikit oleh para hadirin yang hadir.

Namun apa yang menjadikan amalan itu bukan sunnah apabila rambut bayi itu tidak dicukur sepenuhnya selepas majlis itu dan tiada pahala diperoleh daripada hanya mengunting sedikit sahaja rambut bayi yang baru lahir itu.

Memang tidak cukur masa majlis itu, kalau cukur masa itu berdarah kepala budak, guntinglah sedikit-sedikit… lepas orang balik cukur semua rambut jadilah ia sunnah. Sebaiknya rambut bayi yang dicukur itu ditimbang dan jumlah berat timbangan itu disamakan dengan harga emas atau perak. Jumlah berat rambut itu sekian sekian gram kemudian kita tengok emas atau perak berapa harganya ikut gram rambut itu, jumlahnya itu kita sedekah kepada yang memerlukan

-Ustaz Azhar Idrus-

Lagi Artikel dan penjelasan tentang Cukur Jambul, Adat atau Sunnah di SINI.

Macam kami, kedua-dua anak dicukur botak sekitar 7-14 hari selepas kelahiran. Manakala majlis aqiqah pula dibuat setelah mendapat tarikh yang sesuai dengan kelapangan kami suami isteri serta ahli keluarga. Berkenaan majlis berendoi pula, ia lebih kepada pelamin mini untuk tujuan mengambil gambar kenangan bersama tetamu yang hadir. Kebetulan adik ipar saya memang mengusahakan servis pelamin. Orang dah nak sponsor, kita terima jelahh..

Bagi pendapat saya sendiri, tidak ada salahnya jika mahu mengadakan majlis aqiqah, memanggil jemputan untuk sama-sama hadir meraikan kelahiran baru, cuma bersederhanalah jangan sampai membazir. Janganlah kerana tindakan kita menokok tambah, amalan sunat yang dilakukan oleh Baginda Nabi SAW ini bertukar menjadi ikut-ikutan yang bertentangan dengan syariat Islam pula. Penganjuran majlis tidak sepatutnya menjadi masalah asalkan ia bersesuaian dengan kemampuan keluarga dan tidak bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.

Dari sudut lain, ia sangat bagus untuk mengeratkan hubungan sesama keluarga serta jiran tetangga yang sama-sama datang bertandang mengucapkan tahniah atas kelahiran baru tersebut. Sekadar dengan niat menjamu hidangan kepada tetamu dan hadirin.

Bagus kan, begitu?

Kot mana pun, bersederhanakan lebih baik? Semoga kita sentiasa dilindungi daripada sifat riak dan ingin bertanding antara satu sama lain. Wallahualam…

50,241 total views, 94 views today

One Thought on “9 CARA MUDAH MENCUKUR SENDIRI RAMBUT BAYI BARU LAHIR DI RUMAH

  1. Pingback: 9 EASY STEPS TO SHAVE A BABY’S HEAD AT HOME | Make A Wish Event

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge

Post Navigation