8 TIPS ATASI ANAK CEREWET MAKAN, SUPAYA IBU TAK PENAT BERKEJARAN

Selain memastikan anak-anak yang kita lahirkan berjaya dalam kehidupannya dan menjadi orang yang berguna di masa hadapan, kita harus mengambil pendekatan awal dengan memastikan mereka ini makan dengan sihat.

Pemakanan yang sihat tidak dinafikan akan membantu proses pembelajaran yang juga sihat disamping dapat mengelakkan jangkitan penyakit yang sangat mudah menular di kalangan kanak-kanak. Namun begitu, tidak semua ibu bapa cekal dalam misi ini kerana diakui ia sememangnya bukan semudah yang selalu kita sebut-sebut dengan mulut.

Kadang-kadang, ada yang mengeluh,

bukan tak usaha, macam-macam yang kami dah buat tapi masih juga sama. setiap kali makan, memang kena ikut dan kejar dia sekeliling rumah dulu. Kalau tak pun, kena offer mainan atau hadiah, barulah dia nak makan. Itupun semulut-dua jek.

Beberapa ringkas di bawah ini mungkin membantu.

Tips mengatasi masalah anak sukar makan :

1. Latih anak anda untuk duduk di kerusi bayi atau meja makan selama 20-30 minit atau hingga habis makan. Seboleh-bolehnya cuba cari waktu di mana semua ahli keluarga ada bersama untuk makan sebelum memulakan proses latihan ini.

Walaupun anak anda tidak makan langsung atau hanya makan sedikit selama beberapa minit, kekalkan dia di kerusi bayi atau meja makan selama 20-30 minit. Terangkan kepadanya bahawa dia perlu kekal di meja makan sehingga semua ahli keluarga sudah kenyang. Ini secara tidak lansung akan mengajarnya apa itu rasa kenyang. Jangan bimbang jika anak tidak makan pada akhir waktu 20-30 minit ini kerana mereka akan berasa lapar dan rasa ingin makan akan datang semula pada waktu makan seterusnya.

duduk di kerusi bayi ketika waktu makan bersama keluarga memberi keselesaan dan memberi mood untuk mereka makan dengan baik

duduk di kerusi bayi ketika waktu makan bersama keluarga memberi keselesaan dan memberi mood untuk mereka makan dengan baik

2. Kurangkan gangguan pada waktu makan seperti barang permainan, buku dan televisyen. Ini akan mengganggu proses pembelajaran rasa “kenyang” sewaktu makan kerana mereka hanya akan makan tanpa dapat mengenalpasti rasa “kenyang” jika dibenarkan bermain sewaktu waktu makan.

Gangguan-gangguan sebegini akan menyebabkan anak hilang fokus dan lebih cenderung memberi perhatian pada permainan yang dipegangnya. Terapkan dalam dirinya bahawa, waktu makan adalah untuk makan, begitu juga semasa bermain. Lepas dah kenyang boleh sambung main balik.

3. Puji anak anda jika dia mampu menyuap makanan sendiri tetapi kekalkan reaksi neutral tentang apa yang dia makan. Sebagai contoh, ibu bapa tidak seharusnya bertepuk tangan atau menunjukkan reaksi teruja apabila anak mencuba makanan baru. Mencuba makanan baru bukanlah satu “pertunjukan” atau “performance” untuk ibu bapa.

Jangan sesekali memberi “upah” makanan ringan contohnya gula-gula sekiranya anak berjaya menghabiskan makanan yang baru dicuba. Cukup dengan sekadar pujian sambil menjelaskan zat dan khasiat makanan tersebut seperti “bila makan sayur nanti abang cepat besar, selalu sihat boleh pergi jalan-jalan dengan ayah dan ibu”

4. Elakkan menggunakan makanan sebagai hadiah atau ganjaran semasa memujuk atau sebagai tanda kasih sayang kerana ianya sedikit sebanyak akan mengajar anak anda bahawasanya dia akan beroleh makanan yang dihajatinya jika berkelakuan baik sedangkan itu sebenarnya tabiat makan yang wajar dijadikan rutin.

tips didik anak makan dengan sihat

tips didik anak makan dengan sihat

Dalam kes sebegini, makanan ringan seperti aiskrim, coklat dan makanan manis adalah jenis makanan yang sering menjadi pilihan. Salah faham beginilah yang selalunya akan membuat anak anda meminta snek-snek tidak berzat dan tidak pula baik untuk kesihatannya.

5. Jangan paksa atau desak anak anda makan kerana berkemungkinan ia hanya akan membawa kepada masalah dia lansung tidak mahu makan, bukannya makan dengan lebih banyak seperti yang diharapkan. Jangan paksa anak makan makanan yang dia tidak suka, sebaliknya masaklah makanan kegemarannya dengan ikhlas dan usaha sendiri.

Anda juga boleh membuat deko-deko comel dalam sajian makanan anak kecil supaya ia kelihatan sedap dan menarik. Walaupun sekadar hidangan ringkas, berkat doa dan air tangan seorang ibu, anak-anak pasti menyukainya! Cuba semula dalam masa seminggu atau dua minggu berikutnya.

6. Perkenalkan makanan baru secara sistematik. Mulakan dengan memberinya makanan dalam kuantiti yang sedikit. Apabila anak anda sudah biasa dengan makanan tersebut, tambahkan kuantiti yang diberikan. Apabila anak anda berpaling atau menolak makanan tertentu, jangan memaksa dia untuk makan makanan itu juga. Anda boleh cuba lagi dalam masa seminggu atau dua minggu kemudian.

Apabila ia kelihatan telah dapat menerima makanan tersebut, anda boleh mula mempelbagaikan menu masakan atau menambah makanan lain supaya dia tidak jemu dan bosan dengan makanan yang sama setiap kali.

7. Berikan makanan dan kuantiti yang bersesuaian dengan umur. Berikan makanan dalam kuantiti yang sedikit, tetapi benarkan anak anda untuk menambah makanan. Galakkan anak menyuap makanan sendiri kerana ia akan dapat meransang kemahiran motor melalui tindakan memegang sudu dan cawan. Dalam masa yang sama, peka dan perhatikan selera yang bersesuaian dengan umurnya supaya mudah bagi ibu menyediakan makanan buat anak pada masa akan datang.

Seperti juga orang dewasa, anak anda akan menunjukkan minat pada sesetengah makanan tertentu yang digemari melalui cara mereka makan dan reaksi wajah mereka pada setiap kali disuap atau menyuap makanan tersebut ke mulut ketika sedang makan.

8. Beri anak anda makan pada masa yang tetap dan jarakkan masa makan utama dan snek antara 2-3 jam. Ianya adalah 3 sajian utama dan 1-2 sajian snek (termasuk susu dan produk tenusu). Jarak antara waktu makan dan snek bolehlah diberikan air kosong sahaja.

Sekiranya anak anda tidak makan atau makan dengan kuantiti yang sangat sedikit, jangan benarkan pengambilan snek antara waktu makan. Jangan risau, adalah tidak membahayakan jika anak anda hanya makan sedikit saja pada sesetengah waktu makan dan makan dengan lebih banyak pada waktu makan seterusnya atau pada keesokan harinya.

kanak-kanak perlu dilatih untuk makan dengan sihat sejak di usia bayi lagi

kanak-kanak perlu dilatih untuk makan dengan sihat sejak di usia bayi lagi

 

 

 

 

 

 

 

Perlu diingat bahawa perubahan positif di dalam tabiat pemakanan kanak-kanak bermasalah ini mungkin mengambil sedikit masa. Apa yang paling penting ialah jangan marah-marah. Memastikan bekalan nutrien harian yang seimbang dan mencukupi sewaktu proses peralihan sememangnya memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Urut-urutlah dada selalu. Rujuklah pakar perubatan atau pakar pemakanan untuk memohon pendapat dan pandangan berkenaan pendekatan menu yang sesuai untuk anak-anak syurga kita.

1,027 total views, 2 views today

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge

Post Navigation