19 PANDUAN JADUAL TIDUR BAYI AGAR RASA TERUJA MENERIMA ORANG BARU TIDAK TERMUSNAH

Setiap kali ada kelahiran atau ketibaan orang baru di dalam sesebuah keluarga, pasti macam-macam perasaan yang datang terutamanya dalam hati si ibu dan ayah. Ucapan tahniah serta doa yang bersilih ganti buat khalifah kecil pasti disusuli dengan kias-kias yang berbunyi,

Tahniah dan selamat berjaga malam

Comel tapi penuh makna.

Misteri sangat kah dunia keibu-bapaan ni?

Memang semua baby tak reti tidur malam ke?

Memang semua mak ayah baru kena tukar rutin tidur ke?

Kebanyakan bayi mudah dilatih untuk mengikut jadual tidur tetapi ada juga yang perlu dibantu untuk membentuk jadual tidur yang sesuai dengan persekitarannya. Menetapkan jadual tidur bayi pada hari-hari pertama selepas kelahirannya sememangnya sangat mencabar kerana bayi kerap tidur dan menyusu. Ditambah pula dengan keadaan ibu-bapa nya yang masih lagi sedang cuba menyesuaikan diri dengan ketibaan orang baru dalam kehidupan mereka.

ibu bapa baru berisiko untuk mengalami stress akibat daripada kurang tidur

 

 

 

 

 

 

 

Ada sebahagian daripada ibu-bapa yang berasa tertekan kerana kurangnya rehat dan tidur yang terganggu. Tidak semua bayi yang baru lahir menangis kerana dia lapar, sebaliknya dia mahu didodoi sedangkan di kala jam menunjukkan pukul 3 pagi itulah waktu puncak di mana semua ibu bapa bayi yang tidak cukup tidur merindui mimpi indah mereka!

Checklist ringkas ini mungkin boleh membantu ibu bapa menetapkan jadual waktu tidur bayi :

1. Pakaikan bayi baju lengan pendek di waktu siang hari dan baju lengan panjang di waktu malam hari

2. Gunakan pencahayaan siang dan malam yang berbeza

3. Pastikan tempat tidur bayi selesa dan persekitaran bilik tidak terlalu panas

4. Kenalpasti isyarat bayi yang sudah keletihan untuk membantu anda menidurkan bayi sebelum mereka berasa terlalu letih dan sukar tidur

5. Berinteraksi dan bermainlah bersama bayi anda sewaktu ia terjaga bagi mengelakkanya hanya tidur walaupun baru sahaja terjaga dari tidur sebelumnya

6. Jika dia seorang yang suka dibedung, bedunglah bayi anda kerana ia juga merupakan salah satu cara yang akan membuat bayi berasa selesa dan tidur dengan lebih lena seperti dalam dakapan ibu

7. Perhatikan tingkahlaku bayi anda dan penuhi keperluannya samada lampin sedang basah atau mahu disusukan

8. Luangkan sedikit masa untuk bersantai bersama bayi anda sebelum tidur dengan melakukan urutan lembut, mendodoikannya dengan zikir dan menyusukannya dengan sempurna sehingga ia berada dalam “deep sleep”

9. Pastikan bayi disusukan sehingga dia benar-benar kenyang kerana bayi yang kekenyangan akan tidur dengan lebih lena

10. Jika penyusuan telah berlaku kurang dari 2 jam dari sesi penyusuan yang sebelumnya, bayi anda mungkin hanya mahu minum sedikit bagi mengurangkan dahaganya dan payudara anda diperlukan hanya untuk keselesaannya sahaja

11. Seboleh-bolehnya, elakkan daripada membiarkan bayi mengemam setiapkali tiba waktu tidur, kerana ia akan menjadi habit untuk meminta puting ibu setiap kali hendak melelapkan mata

12. Setelah beberapa hari, catatkan masa-masa bayi kebiasaannya terjaga, menangis, dan mahu disusukan bagi membantu anda mengenalpasti semua perilakunya

13. Setelah itu, buatlah jadual hasil gabungan daripada carta tersebut di mana anda berdua selesa dan gunakanlah ia sebagai panduan bagi menggalakkan bayi anda tidur setiap hari

14. Dengan mengetahui bila waktunya bayi anda tidur pada siang hari, anda boleh cuba mengurangkan waktu tidurnya di kala siang secara beransur-ansur supaya ia kemudiannya akan tidur dengan lebih lama pada waktu sebelah malam pula

15. Masa tidur yang paling lama seharusnya berlaku pada awal siang hari dan tidur petang pula seharusnya paling singkat kerana sekiranya terlebih tidur, bayi akan sukar pula untuk tidur pada malam harinya

16. Jika bayi hanya tidur-tidur ayam, cuba galakkannya untuk tidur dengan lebih lama dengan membedung, mendodoi atau menepuk-nepuk tubuhnya supaya dapat kembali meneruskan tidur

17. Jika bayi anda tidur lebih lama daripada jangkamasa 2-4 jam di waktu siang, kejutkanlah dia secara perlahan-lahan.

18. Sekiranya dia terjaga di waktu malam, penuhi keperluannya tetapi kurangkan perbualan dan “eye-contact” dengannya kerana ia adalah masa untuk tidur

19. Tetapkan masa untuk tidur yang sama setiap hari, sebagai contoh sekitar jam 7 atau 8 malam bermula dengan membiasakan diri membawanya ke tempat tidur dan menidurkannya

rutin tidur bayi baru lahir

 

 

 

 

 

 

 

Selain itu, ibu-bapa harus juga mengawasi dan memerhatikan tanda-tanda berikut yang menunjukkan signal bayi sudah mula keletihan dan perlukan rehat (tidur) :

  • menggosok mata dan mukanya
  • menguap
  • kelihatan bingung
  • matanya berkaca-kaca
  • menangis sambil kaki dan tangannya menggeliat
  • kelihatan resah dan sering merengek

Jadual penyusuan dan tidur bayi akan sentiasa berubah dari hari ke hari. Adakalanya bayi memerlukan lebih susu tetapi kurang tidur, dan ada pula yang sebaliknya. Pada kebiasaannya, bayi anda akan mengalami pertumbuhan yang mendadak pada hari kesepuluh selepas dilahirkan. Ketika itu, dia akan memerlukan susu yang lebih banyak dan akan meminta untuk disusukan dengan lebih kerap.

Percubaan untuk melatihnya mengikut jadual tidur pada ketika ini sememangnya sangat mencabar. Dengan kesabaran dan ketabahan anda sebagai orang tua, bayi anda akan mula belajar untuk tidur dan mengadaptasikan diri dengan waktu tidur yang telah ditetapkan.

Bayi anda memerlukan kira-kira 10-14 hari untuk menyesuaikan diri dengan apa juga rutin yang ingin diikuti. Sebaik-baiknya, ibu sendiri mengambil inisiatif untuk mendapatkan waktu tidur yang secukupnya di hari-hari awal kelahiran si kecil.

Bak kata orang tua-tua,

bila anak tidur, engkau pun tidurlah sama. nanti bila dia dah terjaga, engkau memang takde peluang nak tidur dah”

Oleh itu, buat para ayah pula.. fahamilah bahawasanya ibu-ibu ni bukannya nak tidur sangat, tapi peluang sebegini bukannya datang selalu. :) Tidur oh tidur.. hehehe…

Buat para ayah, turut sertalah bersama isteri untuk sama-sama mengendalikan si kecil terutamanya semasa dalam pantang tu. Bukan senang nak naik pangkat jadi ibu bapa woih, ia memerlukan semangat yang utuh dan pengorbanan yang besar juga!

baby baru lahir memerlukan waktu tidur 16 jam sehari

7,106 total views, 10 views today

One Thought on “19 PANDUAN JADUAL TIDUR BAYI AGAR RASA TERUJA MENERIMA ORANG BARU TIDAK TERMUSNAH

  1. Pingback: SEBAB BAYI TIDAK TIDUR DENGAN LENA | Nasuha Vita Life

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge

Post Navigation