5 TIPS MENGAWAL BACAAN KUNING BAYI BARU LAHIR AGAR TIDAK MENCANAK NAIK SEHINGGA PERLU DILAKUKAN PEMINDAHAN DARAH

Tidak dinafikan, masalah kuning atau jaundis pada bayi baru lahir adalah antara isu yang tidak pernah surut.

Statistik mencatatkan 50% daripada bayi yang lahir mendapat jaundis di minggu pertama selepas kelahiran menyebabkan ianya tidak lagi dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa.

Bagi ibu bapa baru terutamanya mereka yang bergelar mak ayah di usia muda, keadaan ini boleh menjadi suatu yang sangat membimbangkan jika tiada serba sedikit ilmu.

Sama seperti saya suatu masa dahulu yang pernah sangat tertekan dan risau tak sudah-sudah dengan bacaan kuning yang sukar difahami pattern naik turunnya.

Sebagai panduan, ini border line yang boleh dirujuk untuk bacaan kuning yang normal dan tidak merbahaya bagi bayi.

Bacaan neonatal bilirubin jaundice bayi baru lahir :

  1. Newborn <1 hari <6.0 mg/dL @ 102.6 umol/L
  2. Usia 1-2 hari <8.7 mg/dL @ 148.8 umol/L
  3. Usia 2-3 hari <10.0 mg/dL @ 171.0 umol/L
  4. Usia 3-4 hari <11.0 mg/dL @ 188.1 umol/L
  5. Usia 4-5 hari <12.0 mg/dL @ 205.2 umol/L
  6. Usia 5-14 hari <10.0 mg/dL @ 171.0 umol/L
  7. Usia 14-28 hari <2.0 mg/dL @ 34.2 umol/L

Memang diakui selepas menjadi sebahagian daripada Malaysian Breastfeeding Peer Counselor, saya lebih faham dengan jelas macam mana nak monitor bacaan kuning anak.

Dan, bersalin kali ni saya sangat bersedia sejak sejam selepas kelahiran dari hari pertama baby keluar sampailah 2 minggu berikutnya. Fasa crucial yang kena betul-betul jaga.

Walaupun dah kali keempat beranak, masih banyak ilmu yang saya sendiri tak pernah tahu dan sangat teruja nak apply.

Benarlah, learning is a never ending process. Lagi-lagi ilmu keibubapaan ni. Kena sentiasa ditambahbaik.

Pengalaman dengan 4 orang anak semuanya berbeza. Ada yang jaundis cuma seawal minggu pertama, ada yang selama lebih sebulan, ada yang tak kena jaundis lansung – ini my number two, Ain Sufi. (bacaan bilirubin 5mg/dL memang dah dikira lulus dan tak perlu follow up klinik dah).

Macam mana nak buat tu?

Runsing kot bab-bab kuning baby ni.

Untung tau korang, saya dulu masa anak sulung semua pandai-pandai cari sendiri. Beli macam-macam buku, google sana sini pun banyak juga lagi yang tak khatam bila masuk bab praktikal.

Ini tipsnya :

1. Susukan bayi seawal yang mungkin selepas kelahiran. Sebaik-baiknya setengah jam hingga 1 jam pertama selepas bersalin.

Lebih awal penyusuan bermula, bayi akan lebih cepat menyesuaikan diri dengan posisi lekapan yang betul dan peratusan kejayaan penyusuan juga akan lebih tinggi.

2. Menyusukan bayi hanya pada sebelah payudara setiap kali supaya bayi mendapat kedua-dua kandungan khasiat susu awal dan susu akhir.

Susu awal (foremilk) bersifat lebih cair, mengandungi protein, karbohidrat dan vitamin serta membantu menghilangkan dahaga.

Susu akhir (hindmilk) kaya dengan kalori, serat dan lemak serta lebih mengenyangkan.

Susu di sebelah payudara lagi boleh dikeluarkan melalui kaedah marmet yang dalam masa yang sama boleh diurut perlahan-lahan bagi melancarkan pengaliran susu.

3. Pastikan bayi mendapat susu yang cukup (sekurang-kurangnya 8 kali dan ke atas sesi penyusuan dalam masa 24 jam)

Susu ibu lebih cepat dihadam berbanding susu formula. Jadi, susukan bayi sekerap yang mungkin – breastfed on demand.

Bayi yang mempunyai bacaan bilirubin yang tinggi akan kerap tidur (salah satu tanda fungsi hati yang lemah) dan perlu dikejutkan dengan kerap untuk disusukan supaya bilirubin dapat dikeluarkan.

Bilirubin inilah yang menjadi penyebab jaundis dan ia dihasilkan daripada pemecahan sel darah merah yang terlalu cepat dan banyak yang kemudiannya diproses di dalam hati sebelum disingkirkan melalui perkumuhan najis.

4. Perhatikan perubahan warna najis bayi setiap hari. Pantau kekerapan berak dan kencingnya dengan baik. Sekurang-kurangnya 5-8 kali gantian lampin basah sehari.

Hari pertama hingga kedua – black or dark green – hitam atau hijau tua, pekat, melekit (mekonium).

Hari ketiga hingga keempat – brown, green or yellow – berwarna kecoklatan/kehijauan/sedikit kekuningan dan kurang melekit.

Hari kelima dan seterusnya – soft, seedy and a bit watery – kuning mustard, lebih cair dan berpasir (mempunyai tekstur berbiji-biji).

Tanda bayi mendapat susu yang cukup dan seimbang ialah melalui warna najis yang kuning keemasan.

5. Perhatikan juga tanda-tanda ini. Kebanyakan bayi yang normal akan menangis dengan kuat, aktif bergerak dan tidak sukar untuk dibangunkan dari tidur.

Bayi akan kehilangan berat badan pada 3 hari pertama selepas kelahiran dan bermula daripada hari keempat berat badan bayi sepatutnya sudah mula bertambah dengan konsisten.

Kesemua di atas akan membantu sistem pencernaan dan penghadaman bayi, menaikkan berat badan bayi dan seterusnya mengeluarkan kandungan bilirubin.

Penting :

Pada hari pertama sehingga ke-empat susu yang keluar dari payudara ibu adalah kolostrum. Ianya bersifat pekat, melekit dan berwarna kuning keemasan.

Kolostrum adalah sejenis susu ibu yang dihasilkan pada akhir tempoh mengandung hingga beberapa jam selepas bersalin.

Ia mengandungi banyak khasiat, mudah dicerna, memiliki efek laksatif dan tinggi kandungan antibodi yang sangat diperlukan oleh bayi sebelum memperoleh suntikan vaksin formal.

Kolostrum yang dihasilkan ini tidak banyak dan mencurah-curah seperti susu matang dan ianya sesuai untuk perut bayi berusia 1-4 hari yang masih terlalu kecil dan memerlukan penyusuan kerap, tetapi sedikit demi sedikit pada setiap kali sesi menyusu.

Baca : Susu saya yang keluar adalah terlalu sedikit seperti lendir yang pekat melekit dan kekuningan, adakah ia selamat untuk diberikan kepada bayi?
Bayi yang masih jaundis berterusan melebihi dua minggu perlu segera dirujuk ke hospital kerana berkemungkinan mempunyai masalah berkaitan hati, kekurangan hormon tiroid (boleh menyebabkan kecacatan otak jika lambat dirawat) atau terdapat jangkitan kuman.

Walaubagaimanapun, tetap perlu diutamakan fokus pada penjagaan diri ibu yang masih dalam tempoh pemulihan dan memerlukan nutrisi makanan yang berkhasiat agar dapat mengembalikan tenaga untuk kembali sihat.

Patuhi arahan pihak hospital untuk sentiasa memantau bacaan kuning bayi supaya dalam julat yang selamat dan tidak membahayakan.

Sekiranya tidak menurun bawalah bayi ke klinik untuk melakukan ujian darah bagi memeriksa tahap bilirubin yang terkini.

Terdapat sesetengah bayi yang memerlukan rawatan tambahan seperti fototerapi disebabkan oleh beberapa faktor.

Apa yang paling penting jangan sesekali memberikan sebarang makanan pada bayi kononnya menurut petua orang-orang lama.

Usus bayi baru lahir masih belum matang untuk mencerna makanan selain susu ibu selaku yang terbaik.

Human milk, for human babies.

296 total views, 1 views today

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge

Post Navigation