11 PANDUAN MEMILIH PAM UNTUK IBU BEKERJAYA

Pengalaman terdahulu menyusukan kakak Nasuha selama hampir genap 20 bulan membuatkan saya semakin yakin dan ingin meneruskannya dengan semangat yang lebih lagi kali ini. Walaupun penuh pancaroba, saya gembira melihat si dia membesar di awal kelahirannya dengan susu ibunya sendiri.

Bermula semula sebagai ibu menyusu buat kedua kalinya membuat saya ingin menambahbaik peralatan mengepam yang tidak pernah berganti. Kalau dulu saya menggunakan single pump, kali ini saya nak upgrade jadi double pump pulak. Tapi, bukan bermakna saya nak letgo pam yang lama tau! :)

Dah alang-alang nak beli lagi satu, elok juga kalau kita ushar jenama lain pula this time. Dapat tambah koleksi. Ye tak?!

workingmumpumping

Ibu bekerjaya semestinya memerlukan sekurang-kurangnya satu set pam bagi membantu mengosongkan payudara secara efektif sewaktu berjauhan dengan bayi. Justeru itu, pemilihan pam yang betul dan sesuai adalah sangat penting bagi menjayakan penyusuan susu ibu.

Jom semak satu persatu!

1. BAJET

kalkulatorbajet

Membeli sesuatu barang terutamanya jika ia suatu keperluan perlulah sesuai dengan kemampuan. Pam yang mahal tidak semestinya bagus, begitu juga sebaliknya. Apa yang lebih penting ialah kekerapan mengepam untuk mengosongkan payudara. Sekiranya mahu berjimat, ia boleh dibeli ketika promosi atau ekspo jualan murah. Namun, selidik dan buatlah perbandingan harga terlebih dahulu sebelum membeli untuk mengelak daripada terpedaya dengan tawaran penjual yang bijak bermain harga.

2. JENIS

Secara umumnya, terdapat 4 jenis pam yang boleh dipilih iaitu manual, beroperasi dengan kuasa bateri, elektrik, serta gabungan bateri dan elektrik. Jika kita membuat keputusan untuk memilih pam manual, perlu diketahui bahawa ia memerlukan tenaga fizikal dan mental yang kuat. Walaupun harganya murah, ia sememangnya agak meletihkan dan lebih sesuai untuk kegunaan sekali sekala. Perlu dipastikan bahawa jangka hayat bateri mampu bertahan lama jika ingin memilih pam jenis ini. Pam yang menggunakan kuasa elektrik pula lebih mudah digunakan kerana ia tidak memenatkan. Paling seronok jika dapat memiliki pam yang menawarkan 2 method sekaligus seperti bateri dan elektrik kerana selain menjimatkan masa, ia juga kebiasaannya berciri mudah alih.

3. KESELESAAN (COMFORTABILITY)

Aspek ini agak penting untuk dititiberatkan. Pastikan corong pam yang akan dilekapkan ke payudara mempunyai alas getah yang lembut dan selesa supaya ia tidak menyakitkan semasa proses mengepam berlaku. Selain itu, keselesaan yang dirasai akan memberi gembira yang juga akan meransang hormon prolaktin agar menghasilkan lebih banyak susu.

4. DAYA TAHAN (HEAVY DUTY)

Pilihlah pam yang mempunyai daya ketahanan yang tinggi kerana anda akan menggunakannya untuk suatu jangka masa yang lama. Jangan pilih pam semata-mata kerana promosi harga yang murah. Adalah lebih baik jika anda mendapatkan pam yang memiliki motor yang mampu bertahan untuk sesi pengepaman yang kerap. Mohon pendapat daripada jurujual berkenaan pam yang dijual dan feedback daripada pengguna yang telah membelinya.

5. DAYA HISAPAN (SUCTION)

Pam yang ingin dimiliki seharusnya mempunyai ciri hisapan yang sama seperti bayi menyusu (mimmics baby suction). Oleh itu, dapatkan senarai pam yang mempunyai review paling tinggi menerusi carian di internet. Dengan yang demikian, pam yang memiliki ciri sebegini akan membantu anda mengeluarkan susu dengan lebih lancar dan mungkin akan memberikan hasil perahan yang lebih lumayan juga. Usaha untuk mencuba dahulu sebelum membeli pam adalah idea yang baik juga kerana sekurang-kurangnya anda dapat tahu samada ianya serasi atau tidak dengan anda. Harus diingat, memerah susu menggunakan breastpump sepatutnya bukanlah sesuatu yang menyakitkan.

6. ALAT GANTI (SPARE-PART)

Seboleh-bolehnya dapatkanlah pam yang mempunyai bahagian yang mudah ditanggalkan dan dipasang semula agar ia dapat memudahkan kerja-kerja pembersihan pam. Pastikan juga alat ganti pam berkenaan mudah didapati sekiranya ada mana-mana bahagian pam mengalami kerosakan atau hilang. Sementara itu, perlu diketahui bahawa pam jenis elektrik dan beroperasi menngunakan bateri perlu lebih kerap diselenggara. Disamping itu, jaminan atau warranty juga sangat penting untuk memudahkan urusan gantian.

7. BUNYI

Aspek ini juga penting dan perlu dititikberatkan. Dapatkan pam yang senyap atau kurang menghasilkan bunyi. Ia penting agar anda dapat mengepam dengan selesa tanpa diketahui bahawasanya anda sedang memerah susu. Anda juga tidak perlu bimbang ianya akan didengari atau mengganggu orang sekitar.

8. MOBILITY

Antara ciri pam yang bagus ialah jenis yang fleksibel (mobile) atau dikenali juga sebagai portable pump, yang mudah untuk di bawa ke mana sahaja. Yang terbaru, ada juga set breastpump yang dilengkapi dengan built in battery, bateri kecil dan nipis seperti telefon bimbit serta power bank tau!

9. SINGLE ATAU DOUBLE?

Anda perlu memastikan sejauh mana pentingnya keperluan pam ketika di tempat kerja. Dari situ anda boleh membuat keputusan dan memilih samada ingin menggunakan single pump atau double pump. Namun begitu, penggunaan double pump adalah sangat digalakkan. Mengepam kedua-dua belah payudara serentak bagus untuk membolehkan milk down refleks berlaku lebih cepat sekaligus menjimatkan masa. Ia bukan sahaja dapat mengelak kekangan masa, malah dapat pula meransang penghasilan susu yang lebih banyak!

10. JENAMA

medelaharmonybreastpump

Di pasaran, terdapat lambakan jenama breastpump yang boleh membantu perjalanan penyusuan ibu. Antaranya ialah medela, avent, spectra, autumnz, ameda, pureen dan banyak lagi. Terpulang pada anda untuk memilih bergantung pada kesesuaian dan ciri yang diinginkan. Apa yang penting ialah, cuba lakukan ujian percubaan terlebih dahulu sebelum membeli pam yang diidamkan itu. Lakukan survey terlebih dahulu bagi memastikan anda tidak tersalah pilih. Semak spesifikasi dan dapatkan maklumat dengan membaca ulasan daripada pengguna-pengguna yang telah menggunakannya.

11. SAIZ DAN BERAT

Saiz dan berat sesebuah pam adalah berbeza antara satu sama lain. Ada yang bersaiz kecil dan ringan, dan ada pula yang bersaiz besar dan agak berat terutamanya pam yang mempunyai motor dan menggunakan elektrik. Bagi anda yang kerap bertugas di luar kawasan, adalah lebih baik jika anda mempertimbangkan pam yang lebih kecil, ringan serta mudah dibawa bagi memudahkan urusan.

Terlebih dahulu, dapatkan sebanyak mungkin pilihan pam berpandukan kepada kriteria yang sudah ditetapkan sesuai dengan jawatan, norma kerja dan field of work sang ibu. Apa salahnya melaburkan sedikit wang untuk melunaskan tugas menyusuakan anak yang juga menjadi tanggungjawab kita. Biar alah membeli tapi menang memakai!

Walau berapa pun bajet anda, walau apa pun jenis atau jenama yang dipilih, kejayaan menyusukan adalah bergantung sepenuhnya kepada sejauh mana semangat dan kemahuan si ibu. Menjayakan penyusuan susu ibu bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia tidak mustahil dilakukan.

Tips : Sekiranya ibu membuat keputusan ingin membeli pam terpakai, sebaik-baiknya belilah storage bottle, tiub dan corong yang baru bagi mengelakkan risiko jangkitan antara pengguna lama dan anda. Ini kerana tidak semua bahagian pam boleh ditanggalkan dan dicuci.

1,497 total views, 6 views today

3 Thoughts on “11 PANDUAN MEMILIH PAM UNTUK IBU BEKERJAYA

  1. Pingback: 6 TIPS MEMERAH SUSU DI SEKOLAH - Nasuha Vita Life

  2. Pingback: TIPS MENGENDALIKAN EBM TANPA DEEP FREEZER | Life is a Story

  3. mmg betul pun…kena pilih betul2 pam nie…nak pakai lama kan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge

Post Navigation